Semasa

Gangguan bekalan elektrik pulih sepenuhnya

KUALA LUMPUR : Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia telah berjaya dipulihkan sepenuhnya pada jam 3.02 petang tadi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu hantaran di Facebook menjelaskan siasatan mendapati gangguan bekalan berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

“Ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” menurut hantaran tersebut.

Menurutnya lagi, kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.

Sebelum ini, UMMAHToday melaporkan beberapa kawasan di Lembah Klang mengalami masalah gangguan bekalan elektrik.

Antara kawasan yang dipercayai terjejas adalah Bangi, Serdang, Ampang, Shah Alam, Subang dan pusat bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di negeri lain turut dilaporkan terjejas seperti Alor Setar, Sungai Petani Nilai, Seremban, Kuantan dan Pekan.

Dalam pada itu, TNB turut memaklumkan sekiranya orang ramai ada pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button