DomestikSemasa

Empat buah rumah musnah, seorang warga emas cedera dalam kejadian tanah runtuh

KUALA LUMPUR : Sebanyak empat buah rumah musnah dan seorang warga emas cedera dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, awal pagi tadi.

Laporpan kejadian tanah runtuh itu diterima pihak bomba sekitar jam 1:22 pagi, sekali gus, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail, 15 pegawai serta anggota BBP Sri Hartamas digerakkan ke lokasi bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, seramai lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), 11 anggota polis dan tiga petugas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) turut terlibat dalam operasi tersebut.

“Sebaik sahaja pasukan bomba tiba di tempat kejadian, mereka mendapati empat kediaman di situ rosak akibat dihempap tanah runtuhan.” kata Komander Operasi Kanan, Penguasa Kanan Bomba 1 Khairul Azuwan Ibrahim.

Tambah Khairul, pihaknya juga menemui seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an dalam keadaan tubuhnya tertimbus sehingga ke paras pinggang.

Anggota bomba menyelamatkan seorang wanita warga emas yang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, awal pagi tadi. – Foto Bomba

“Mangsa berjaya diselamatkan walaupun mengalami kecederaan di bahagian kaki dan terus dibawa ke PPUM menggunakan kenderaan EMRS bomba bagi rawatan lanjut.” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Khairul, pasukan bomba kemudian memeriksa kawasan sekitar lokasi kejadian untuk memastikan tidak ada lagi sebarang musibah berlaku dan tempat berkenaan juga ditutup atas faktor keselamatan.

Empat rumah rosak dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, awal pagi tadi. – Foto Bomba

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button