DomestikEkonomiSemasa

Pengecualian cukai jualan kenderaan kekal tamat 30 Jun

KUALA LUMPUR :  Tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz,

Beliau dalam satu kenyataan berkata tempoh pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023 bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan tersebut sehingga 30 Jun 2022 terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan ini.

“Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pascapandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan telah memperkenalkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) pemasangan tempatan dan 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU) sejak 15 Jun, 2020 dan akan berakhir pada 30 Jun 2022.

“Ia bagi mengekalkan dan meingkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik Covid-1,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button