Tebing Barat – Beratus-ratus peneroka haram israel telah menyerbu kompleks Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis Timur untuk menyambut perayaan Yom Kippur.
Dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad, Jabatan Wakaf Islam yang dikendalikan Jordan berkata 317 peneroka haram yang di bawah perlindungan polis menyerbu kompleks itu.
Polis Israel memasang penghadang keselamatan di Kota Lama Baitulmaqdis dan menghalang penduduk Palestin daripada sampai ke masjid, kata saksi.
Yom Kippur dianggap sebagai hari paling suci dalam kalender Yahudi. Ia secara tradisinya disambut dengan berpuasa sepanjang hari dan upacara istimewa di rumah ibadat.
Musim cuti Yahudi Israel bermula pada 15 September dengan menyambut cuti Rosh Hashanah (Tahun Baru).
Mereka juga akan menyambut cuti Sukkot pada akhir September dan cuti Simhat Torah pada 6 Oktober
Kumpulan peneroka haram israel telah menyeru penyokong untuk berkumpul di kompleks Al Aqsa bagi menandakan cuti Yom Kippur.
Pada hari Jumaat, Israel memutuskan menutup wilayah Palestin untuk cuti Yom Kippur, yang bermula tengah malam Sabtu dan akan berakhir pada hari Selasa.
Untuk umat Islam, Al Aqsa mewakili tapak ketiga paling suci di dunia. Untuk orang Yahudi, mereka memanggil kawasan itu sebagai Gunung Kuil, mendakwa ia adalah tapak dua kuil Yahudi kuno.
Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, di mana terletaknya kompleks Al Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967. Ia menggabungkan seluruh bandar pada tahun 1980 dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
SUMBER: AA