DuniaPalestinSemasa

Penduduk Palestin tuntut Mahmoud Abbas letak jawatan

Susulan kematian aktivis Nizar Banat

RAMALLAH: Ratusan rakyat Palestin berhimpun di perkarangan bangunan milik Presiden, Mahmoud Abbas, menuntutnya meletak jawatan susulan kematian kematian aktivis terkemuka, Nizar Banat.

Menurut saudara terdekat Banat, anggota keselamatan pihak berkuasa Palestin (PA) memukul aktivis itu dengan teruk sebelum ditahan semalaman di selatan Tebing Barat, bandar Hebron.

Memetik laporan Arab News, kematian Banat mencetuskan kemarahan penduduk Palestin yang membawa poster aktivis itu ketika mengadakan tunjuk perasaan yang bertukar menjadi rusuhan.

Puluhan anggota keselamatan PA melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan terbabit sebelum menghampiri ibu pejabat Presiden yang terletak di pusat bandar Ramallah.

Gabenor bandar itu yang dilantik oleh PA, Jibrin Al-Bakri, berkata Banat meninggal dunia kerana kesihatannya merosot susulan penangkapannya, tanpa menjelaskan secara terperinci punca sebenar kematian.

Aktivis sosial berusia 43 tahun itu mendakwa PA terbabit dalam rasuah selain membangkitkan isu pertukaran vaksin dalam jangka masa pendek dengan Israel pada bulan ini.

Selain itu, tindakan Abbas beberapa kali menunda pilihan raya Palestin, yang berlarutan sejak sekian lama walaupun sepatutnya diadakan Mei lalu, yang mana Banat turut mendaftar sebagai calon Ahli Parlimen.

Berikutan tuntutan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa kematian Banat disiasat, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh, yang dilantik Abbas, mengarahkan pembentukan sebuah jawatankuasa penyiasatan. Ia turut disertai Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia (ICHR) yang bernaung di bawah PA.

Bagaimanapun, berikutan orang awam lantang menyuarakan kesangsian terhadap PA, Ketua Pengarah ICHR, Ammar Dwaik, berkata mereka tidak akan terbabit dalam jawatankuasa penyiasatan PA, sebaliknya akan mengeluarkan laporan sendiri.

“ICHR terbabit dalam proses bedah siasat dan akan mengeluarkan laporan sendiri dengan kumpulan hak asasi bebas, Al-Haq,” katanya sambil menambah ICHR dilantik dengan restu keluarga Banat.

Bagaimanapun, pengumuman siasatan oleh PA gagal meredakan kemarahan penduduk Palestin yang semakin marah terhadap pimpinan Abbas yang semakin bersifat autokratik.

Abbas, 86, dituduh kerap menahan pengkritiknya dan menurut kumpulan hak asasi manusia, secara bersendirian memimpin PA sejak lebih sedekad lalu dengan kuasa terhad di Tebing Barat dihuni 3.1 juta warga Palestin, yang semakin dicerobohi Israel.

Kumpulan penunjuk perasaan yang kian bertambah di Dataran Al-Manara, Ramallah, semakin lantang melaungkan tuntutan supaya Abbas meletak jawatan dan memanggilnya sebagai pembelot.

Dalam pada itu, duta keamanan PBB ke Asia Barat, Tor Wennesland, turut menyuarakan rasa sedih dan terkejut atas kematian Banat serta menggesa penyiasatan secara telus diadakan.

Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Palestin turut menyuarakan sentimen sama menerusi Twitter dan mahu penyiasatan disegerakan. – BH

Oleh : NurFaisal Hakim  – Pelatih Fakulti Filem, Teater, dan Animasi UiTM

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button