DuniaPalestinSemasa

Pemuda ini jual motosikal RXZ dan Kawasaki RR kesayangan untuk menyumbang kepada Palestin

Semuanya demi ummah

Namanya Wan Suhairy bin Wan Subaha. Beliau sampai ke Wisma MAPIM Malaysia bersama rakannya Bob seawal jam 11 pagi. Beliau disambut dan disantuni oleh Setiausaha Agung MAPIM, Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol, Bendahari MAPIM, Kapten Haji Faris Hussain,  Team Task Force dan Media MAPIM.

Wan Suhairy, Bob dan Team Task Force MAPIM
Wan Suhairy bin Wan Subaha (kiri) dan rakannya Bob

Beliau mengenakan baju Fred Perry carbon blue berkolar, seluar jeans dan mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN. Mungkin kerana pakaiannya dirasakan terlalu  ‘mat motor’,   beliau nampak ragu-ragu sama ada diterima ataupun tidak, lalu Mejar Zulhanis berkata, “Kerja kebajikan ini tidak perlu tunggu kita jadi ustaz, tidak perlu tunggu kita berserban. Kita jadi diri kita sendiri. Kerana setiap kita ada keistimewaan dan kemampuan masing-masing. Apa yang Wan buat ini sudah sangat besar. Kami terima semua orang yang datang ke MAPIM tanpa prejudis.”

Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, Mejar bersekutu (PA) Zulhanis Zainol

Umurnya baru 23 tahun dan anak sulung daripada enam orang adik-beradik. Beliau kini bekerja sebagai operator kilang di Shah Alam, Selangor.  Selain itu beliau juga membuat kerja-kerja sambilan membaiki motosikal. Melihat pada wajahnya jelas beliau seorang yang kuat semangat berdikari.

Beliau adalah seorang pengumpul koleksi motosikal tegar. Untuk keperluan hobinya itu beliau banyak membuat kerja-kerja sambilan. Beliau sudah memiliki motosikal yang dibeli dengan duitnya sendiri sejak umur belasan tahun lagi. Katanya, “Kalau saya mahu sesuatu memang saya akan usahakan sendiri. Saya tidak mahu susahkan keluarga.”

Sejak dari motosikal pertamanya itulah beliau semakin bersemangat dengan hobinya. Sehinggalah pada suatu hari, selepas pulang kerja beliau membaca tentang penindasan israel terhadap Palestin. Di mana anak-anak muda Palestin mempertaruhkan nyawa mempertahankan tanah air mereka. Wan Suhairy termenung panjang dan mula bertanya kepada dirinya sendiri, apa yang dia boleh lakukan untuk membantu saudara-saudara di Palestin? Imej-imej rakyat Palestin yang bertarung nyawa melawan kekejaman israel asyik terbayang-bayang dalam kepalanya.

Beliau kemudiannya terpandang koleksi motosikal kesayangannya, Yamaha RXZ dan Kawasaki RR. Dua buah motosikal legenda. Tanpa banyak bersoal jawab lagi, beliau terus memberitahu rakan-rakan, mahu menjual kedua-dua koleksi motosikal kesayangannya itu.

RXZ kesayangan
Kawasaki RR

Tidak perlu menunggu lama, kedua-dua motosikal ‘panas’ itu terjual dengan harga RM17 ribu. Semua duit jualan itu beliau sumbangkan untuk dana Palestin tanpa mengambil sedikit pun.

“Daripada motosikal itu tersimpan sahaja, baik saya buat sesuatu yang lebih bermakna,” kata Wan Suhairy.

Tetapi beliau tidak tahu di mana duit itu mahu disalurkan. Beliau kemudiannya menghubungi pengurus Achey bagi meminta pendapat NGO mana yang mahu beliau salurkan infaq. Pengurus Achey memberikannya poster MAPIM Malaysia. Tidak mahu berlengah, Wan Suhairy terus menghubungi MAPIM Malaysia.

Kapten Tuan Haji Faris bin Hussain, Bendahari MAPIM Malaysia

Menurut Kapten Tuan Haji Faris Hussain, “Kami sangat berbesar hati dengan kedatangan Wan. Beliau menunjukkan anak muda boleh sahaja membuat sesuatu untuk ummah. Tidak perlu tunggu masuk NGO. Kami sangat mengharapkan apa yang Wan buat hari ini menjadi inspirasi untuk anak-anak muda di luar sana.”

Tujuh belas ribu ringgi tunai

Semoga tindakan Wan Suhairy ini menjadi saksi amalannya di akhirat sana dan menjadi contoh kepada pemuda-pemudi di dunia ini.


MASA UNTUK BERTINDAK

MAPIM Malaysia merayu infaq rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin. Boleh terus salurkan ke

https://www.billplz.com/tabungkilatgaza

ATAU
menerusi Akaun Maybank
Dana MAPIM :
5628 3463 6620

MAPIM Malaysia boleh dihubungi
menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016

Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia

Related Articles

Back to top button