SemasaSyariah

Pasangan bernikah di Thailand perlu daftar, denda tetap dikenakan – MB Perak

IPOH: Pasangan dari Perak yang bernikah di luar negara termasuk Thailand perlu mendaftarkan semula perkahwinan mereka di negeri itu bagi mengelakkan sebarang permasalahan di masa hadapan kelak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi proses pendaftaran itu, Mahkamah Syariah Negeri akan membuat pengesahan terlebih dahulu tentang latarbelakang perkahwinan itu.

“Dalam erti kata lain, perkahwinan di luar negara itu pasangan berkenaan harus balik ke Perak dan mendaftarkan perkahwinan mereka dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).”

“Jika perkahwinan (di luar negara) itu disahkan berlaku (oleh Mahkamah Syariah) maka segeralah berdaftar di sini, namun mereka akan dikenakan denda yang mana jumlahnya akan ditentukan Mahkamah Syariah,” ulas Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mana-mana pasangan yang telah bernikah di luar negara akan berdepan denda RM1,000 atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Kredit foto Stratcomm Perak

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah; Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim serta Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Perak, Yusoff Razali.

Dalam masa sama, Datuk Seri Saarani Mohamad menambah sekiranya pasangan itu telah mendaftar perkahwinan mereka dengan JAIPk, anak yang dilahirkan boleh mendapat sijil kelahiran mengikut undang-undang.

“Jika perkahwinan pasangan itu telah disahkan maka, tidak ada masalah untuk anak mereka memperoleh sijil kelahiran.

“Memang tidak ada masalah perkahwinan di luar negara cuma, perlu mendaftarkan perkahwinan di negeri,” jelasnya.

BACA JUGA
Ketahui kesan jangka masa akan datang jika menikah di Thailand

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button