Semasa

Parlimen kembali bersidang 26 Julai ini – PMO

PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam, berkata Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos depan.

Katanya, mesyuarat ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

“Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Seri Paduka Baginda akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

“Mesyuarat ini akan diadakan mengikut SOP yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.

Sementara itu, nota Jemaah Menteri telah diedar secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara ini.

Oleh Hafeez Anuar (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button