DuniaSemasa

5 terbunuh dalam serangan Daesh di Iraq

BAGHDAD : Lima orang awam terbunuh dalam insiden serangan Daesh di wilayah Diyala di timur Iraq semalam.

Menurut sumber yang enggan mendedahkan identitinya, kumpulan pengganas itu melepaskan tembakan ke arah orang awam ketika melakukan serang hendap di kawasan perkampungan berhampiran, al-Qal’ah di utara wilayah itu.

“Insiden itu menyebabkan lima orang terbunuh dan dua lagi cedera.

“Kumpulan pengganas itu juga cuba menculik dua tebusan namun gagal selepas diselamatkan penduduk kampung,” katanya ketika ditemu bual oleh Anadolu Agency.

Dilaporkan, pengganas Daesh atau ISIS telah meningkatkan serangan di wilayah itu dalam tempoh beberapa bulan lalu terutama di wilayah Kirkuk, Salahuddin dan Diyala.

Daesh/ISIS terrorists kill 5 civilians in eastern Iraq

Pada 2017, Iraq mengisytiharkan kemenangan ke atas Daesh selepas menawan semula wilayah yang ditawan kumpulan pengganas itu sejak musim panas 2014, yang dianggarkan meliputi satu pertiga keseluruhan kawasan negara itu.

Bagaimanapun, kumpulan pengganas itu masih mempunyai kumpulan yang tidak aktif dan terus melancarkan serangan rawak terhadap orang awam, pihak berkuasa, infrastruktur dan sasaran lain.

– Anadolu Agency

Diterjemah oleh Arif Ikhwan  – Pelatih Fakulti Filem, Teater, dan Animasi UiTM / AJ

Related Articles

Back to top button