DuniaSemasa

Palestin beralih ke China selepas kecewa dengan Amerika

RAMALLAH: Palestin mahu beralih kepada China kerana kekecewaannya dengan pentadbiran Joe Biden di Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki pada Khamis.

“Tiga tahun telah berlalu sejak janji Presiden Biden, tetapi kami tidak melihat apa-apa selain sokongan kewangan kepada Agensi Bantuan & Kerja Raya PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan hospital di Baitulmaqdis Timur,” kata Riyad al-Maliki kepada pemberita di ibu pejabat Kementerian Luar Negeri di Gaza.

Maliki menyatakan kekecewaan negaranya dengan pendirian AS mengenai pencabulan israel, termasuk serangan baru-baru ini di bandar Jenin di utara Tebing Barat.

Riyad al-Maliki, Menteri Luar Palestin. Kredit foto AFP

“Pentadbiran Biden amat mengecewakan”, katanya.

“Kini Palestin cuba mengambil langkah dengan beralih kepada China yang menyokong keanggotaan penuh PBB kami,” kata Maliki.

“China bukan sahaja berusaha untuk meningkatkan kerjasama ekonomi mereka tetapi juga kehadiran politiknya di Timur Tengah. Banyak negara di dunia mahukan sokongan China kerana ia telah menjadi pemain global yang penting,” tambahnya.

“Tiada proses damai di Timur Tengah. Jika ada proses damai di masa hadapan, apa salahnya China terlibat bersama negara lain?,” soal Maliki.

Kredit foto WAFA

Rundingan damai antara Palestin dan israel terhenti pada April 2014 kerana faktor penjajahan berterusan penempatan haram yahudi di Tebing Barat yang dicerobohi dan menolak penyelesaian dua negara.

Palestin menuduh Amerika berpihak kepada israel dan berat sebelah dalam proses damai yang tidak berjaya.

BACA JUGA
Gagal tekan israel, hubungan Palestin-AS pada tahap paling rendah

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button