Ordinan Warisan Sarawak mula berkuatkuasa sepenuhnya tahun ini
KUCHING : Ordinan Warisan Sarawak 2019 akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia bertujuan memudahkan tugas pengarah Jabatan Muzium Sarawak dalam melicinkan pentadbiran dan tanggungjawab ke atas bangunan-bangunan lama serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
“Dengan adanya ordinan yang baharu ini saya yakin budaya ketara dan tidak ketara, muzium, bangunan, tapak serta monument bersejarah di Sarawak dapat diurus dengan sebaik-baiknya demi kebaikan dan kepentingan semua masyarakat,” katanya.
Muzium sejarah Sarawak itu siap dibina pada 1891 hasil usaha Rajah Putih Kedua Sarawak Charles Brooke yang sangat meminati sejarah alam semula jadi di negeri itu dan ia merupakan muzium yang pertama dibina di kepulauan Borneo ketika itu.
Menurut Abdul Karim, memandangkan kepentingan Muzium Sarawak kepada pembangunan sosioekonomi negeri, kerajaan pada 2015 telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan muzium itu mengikut standard antarabangsa.
Kerja-kerja pemuliharaan telah selesai pada 2020 dan pengisian pameran akan dilakukan dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang akan mempamerkan sejarah pembangunan Muzium Sarawak serta koleksi alam semula jadi.
Tambahnya, pembangunan Muzium Sarawak di bawah projek Kampus Muzium Sarawak akan menjadi pemangkin kepada kemajuan bandar raya Kuching.
Muzium merupakan destinasi lawatan yang popular dan amat digemari oleh setiap pengunjung yang datang ke sesebuah bandar dan jumlah pelawat ke muzium adalah lebih ramai berbanding lokasi tarikan lain.
“Pada 2019, Sarawak menerima seramai 4.66 juta pelancong dengan mengutip hasil sebanyak RM11.6 juta dan salah satu penyumbang kepada jumlah tersebut adalah sektor warisan,” katanya.
-BERNAMA
Oleh Hafeez Anuar