Semasa

Kadar vaksinasi pantas Malaysia dapat pengiktirafan Arab Saudi

PUTRAJAYA : Arab Saudi membuka pintu negaranya kepada para pelancong daripada 49 buah negara termasuk Malaysia.

Hal ini berikutan kadar vaksinasi yang amat pantas (antara terpantas di dunia) menyebabkan Arab Saudi memberi kepercayaan penuh untuk membuka pintu negaranya kepada Malaysia bagi tujuan pelancongan.

Perkara itu dikongsi Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Alhamdulillah, ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia.

“Di samping itu, keberkesanan vaksin yang memperlihatkan 98.1% kes hanya di tahap 1 dan 2 serta kadar kesembuhan 81.37% menzahirkan sistem pengurusan kesihatan Malaysia yang teratur.

“Buat masa ini, Malaysia masih menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung permohonan visa umrah bagi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Sebelum ini, Malaysia menerima sumbangan 1 juta dos Astrazeneca dan 4.5 juta unit pelbagai bantuan perubatan daripada Yang Mulia Raja Salman bin Abdulaziz dan Yang Mulia Putera Mahkota Muhammad bin Salman melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre (KSRelief).

Hubungan yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh bagi manfaat kedua-dua buah negara.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli menyeru umat Islam memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah SWT agar wabak COVID-19 segera pulih agar kita dapat kembali menziarahi Tanah Suci dalam masa terdekat.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button