DuniaSemasa

Turki terajui usaha menentang Islamofobia

NEW YORK: Turki mengambil peranan utama dalam usaha memerangi Islamofobia di pentas antarabangsa, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Ahad, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Kami memerangi virus yang lebih merbahaya dan licik. Virus ini, sama bahayanya dengan COVID-19, dinamakan Islamofobia.

“Virus ini menular dengan sangat pantas,” kata Erdogan pada pertemuan anjuran Jawatankuasa Pemandu Turki Amerika di New York City.

Menurut beliau Islamofobia kini telah menjadi trend yang mengganggu kehidupan seharian umat Islam dan mengancam keamanan sosial.

“Kami juga menyokong segala upaya untuk menghapuskan semua ancaman terhadap agama dan saudara-saudara Islam kita,” tambah presiden itu.

Beliau juga meminta sokongan daripada masyarakat Islam Amerika dalam pertempuran Turki.

Presiden Turki itu tiba di New York untuk menghadiri sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.

Terdahulu, beliau meluangkan masa mengunjungi Pusat Turkevi yang bakal dibuka, terletak di 821 First Avenue, Manhattan, berdekatan dengan ibu pejabat PBB.

Katanya, bangunan pencakar langit 36 ​​tingkat itu adalah “monumen kebanggaan” yang tidak hanya berfungsi sebagai rumah bagi orang Turki tetapi juga untuk masyarakat Islam Amerika.

Bangunan yang menampilkan seni bina tradisional Turki, terutama dari Empayar Seljuk itu dapat dilihat dari pusat bandar Manhattan, Sungai Timur dan Long Island.

Rekaan bangunan itu mencerminkan budaya, sejarah dan kepelbagaian Turki.

ANADOLU AGENSI

Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button