LONDON : Varian Omicron Covid-19 berpotensi menyebabkan gejala lebih teruk terhadap bayi di bawah usia satu tahun.
Data daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di Britain menunjukkan sebanyak 42 peratus pesakit Covid-19 bawah usia 18 tahun dari 14 Disember 2021 hingga 12 Januari 2022 adalah melibatkan bayi berusia bawah satu tahun.
Peningkatan itu adalah sebanyak 31 peratus sejak pandemik melanda.
Data menunjukkan pada bulan lalu, terdapat pengurangan jumlah kanak-kanak lima tahun ke bawah yang sakit teruk dan memerlukan bantuan pernafasan.
“Terdapat bukti menunjukkan bahawa varian ini berpotensi menjangkiti saluran pernafasan bahagian atas berbanding varian sebelumnya. Kanak-kanak mempunyai saluran pernafasan yang kecil.
“Varian ini mungkin menyebabkan sedikit demam atau gejala pernafasan pada bahagian atas terhadap kanak-kanak lebih muda berbanding varian sebelumnya, dengan sebahagian besar asimtomatik atau tiada gejala,’’kata ahli SAGE, Prof Russell Viner dari Universiti Kolej London.
Namun, pakar-pakar pediatrik Britain menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk mengesahkan perkara itu berikutan lebih ramai bayi yang dirujuk kepada pakar-pakar perubatan kerana memerlukan rawatan lebih rapi ekoran faktor usia.
Empat daripada lima bayi yang dijangkiti Covid-19 dihantar ke hospital untuk diperiksa sama ada mengalami demam atau batuk dan diberi ubat antibiotik sebagai langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan kuman yang serius.
– AGENSI