Covid19DuniaKerohanianSemasa

Golongan wanita tidak perlu mahram kerjakan haji musim ini

Arab Saudi beri kelonggaran

JEDDAH : Kementerian Haji dan Umrah menggubal syarat dan tatacara baharu dalam pendaftaran Haji 1442H melalui makluman di portal elektronik jemaah domestik.

Salah satu pembaharuan yang dikemukan ialah kebenaran bagi jemaah wanita mendaftar tanpa mahram bersama jemaah wanita lain.

Memetik laporan Saudi Gazette, jemaah yang ingin menunaikan haji harus mendaftar secara individu.

Bagi musim ini, kementerian telah mengumumkan tiga pakej Haji, pakej pertama (Kem Pakej Hospitaliti) berharga SR12,113 (RM13,268) ; pakej kedua (Kem Hospitaliti Cemerlang) berharga SR14,381 (RM15,752) dan pakej ketiga (Menara Perhotelan Cemerlang) berharga SR16,560  (RM18,139).

Sempena Haji 2021, antara syarat yang diketengahkan sebelum mendaftar ialah jemaah yang berumur lingkungan 18 hingga 65 tahun, mempunyai tahap kesihatan yang baik termasuk imuniti dengan dos pertama vaksin COVID-19.

Tidak menghidap apa-apa penyakit kronik dan pendaftaran hanya terbuka untuk warganegara atau penduduk Arab Saudi yang masih belum dapat menunaikan ibadah haji lima tahun lepas.

Selain itu, tempoh pendaftaran untuk haji tahun ini akan dibuka dari 13 Jun hingga 23 Jun 2021 melalui http://localhaj.haj.gov.sa.

Mulai 25 Jun, fasa kedua pendaftaran akan bermula yang merangkumi penyusunan dan melengkapkan pendaftaran.

Kementerian mengatakan pembayaran mestilah dalam masa tiga jam setelah memilih pakej untuk mengelakkan pembatalan.

Tambah kementerian Arab Saudi, penyusunan dilakukan berdasarkan standard kesihatan dan peraturan yang mempertimbangkan kelompok usia serta mereka yang belum pernah menunaikan haji.

Pada Sabtu (12 Jun), Arab Saudi memutuskan tidak membuka pendaftaran untuk menunaikan ibadah haji kepada negara luar susulan wabak COVID-19.

Oleh itu, sejumlah 60,000 jemaah dibenarkan dan tergolong dalam kelompok warganegara dan penduduk Arab Saudi sahaja bermula pertengahan bulan Julai.

Berdasarkan laporan kementerian, jemaah haji perlu menerima vaksin sepenuhnya atau mendapat satu dos vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya 14 hari sebelumnya, atau mereka yang diberi vaksin selepas pulih dari jangkitan coronavirus.

Keputusan ini dibuat berdasarkan kesungguhan kerajaan dalam memberi ruang para jemaah serta pengunjung di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi melakukan ibadah Haji dan Umrah, lapor kementerian. – AGENSI

Oleh : Wartawan UmmahToday – Nurshazlin Shahrom / Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran)

 

Related Articles

Back to top button