KemanusiaanSemasa

Nik Khatijah, perginya sukarelawati bangsa dan agama

Setiap nafasnya adalah untuk berbakti kepada ummah

Bangi : Untuk yang mengenali Nik Khatijah Nik Mud, Hari Wanita semalam disambut dengan penuh kesedihan. Bermula dengan kehilangan yang mencurigakan, dengan hanya keretanya yang ditemui di parking sebuah pasaraya, para rakan berusaha mencarinya. Hebahan di media sosial juga dibuat. Semuanya berharap Nik Khatijah selamat.

Namun, almarhumah Nik Khatijah yang berusia 32 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan yang tragis di rumahnya di Kajang, Selangor. Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan tidak ada kenyataan rasmi tentangnya sehingga artikel ini ditulis.

Almarhumah merupakan bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIAM). Semangatnya dalam dakwah dan kebajikan terpapar jelas dengan penyertaannya dalam Pertubuhan IKRAM Malaysia sejak tahun 2013. Bermula sebagai eksekutif Jabatan Wanita dan jawatan terakhirnya Pengurus Jabatan Advokasi.

Selain tugas hakiki dalam NGO IKRAM, beliau juga aktif dalam NGO Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasional (PENAWAN), sebagai setiausaha. Juga dalam NGO Pertubuhan Teratak Rahmah Islam – rumah perlindungan wanita yang teraniaya dan mangsa keganasan rumahtangga, (TERATAI) sebagai bendahari.

Di mana, di PENAWAN dan TERATAI beliau adalah sukarelawan aktif yang tidak bergaji. Selain itu beliau juga terbabit dalam membantu badan-badan kebajikan yang lain.

Beliau seorang yang ‘workholic’. Selepas kerja hakiki, beliau akan membuat pula kerja-kerja kesukarelawanan. Sebelum pandemik covid-19, adakalanya dia balik sebelum pukul 10 malam, dan semasa PKPB dan PKPP, walaupun dia bekerja dari rumah tetapi ada waktu beberapa hari dalam seminggu dia tetap pergi ke pejabat, dan balik pada pukul lapan malam selepas solat maghrib.

Seorang yang pendiam tetapi rajin menulis. Penulisannya dengan nama Nik Khatijah Nik Mud tentang isu wanita boleh dibaca di atas talian dalam pelbagai platform.

Beliau yang masih bujang menggunakan sepenuh masanya untuk usaha kesukarelawanan kerana berpegang pada hadis, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia.”

Menurut Ir. Endok Sempo binti M Tahir, Pengerusi Penawan, “Alhmarhumah selalu balik lewat. Apabila ditanya kenapa balik lewat, almarhumah menjawab beliau tidak suka kerja yang bertangguh. Takut tidak sempat. Malah katanya, sementara dia belum ada tanggungjawab sebagai isteri di rumah, inilah masanya dia kumpul pahala sebanyak-banyaknya dengan cara ini.”

Almarhumah bercadang untuk berpindah ke Rumah Teratai pada minggu ketiga bulan Mac untuk membantu apa yang patut di sana, tetapi Allah lebih menyayanginya.

Sama-sama kita mendoakan untuk kebaikan almarhumah Nik Khatijah Nik Mud.

“Ya Allah, ampunilah, rahmatilah, bebaskanlah dan lepaskanlah dia. Dan muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah ia. Dan muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah jalan masuknya, cucilah dia dengan air yang jernih lagi sejuk, dan bersihkanlah dia daripada segala kesalahan bagaikan baju putih yang bersih daripada kotoran, dan gantilah rumahnya dengan rumah yang lebih baik daripada yang ditinggalkannya, dan keluarga yang lebih baik, daripada yang ditinggalkan, serta suami yang lebih baik daripada yang ditinggalkannya pula. Masukkanlah dia ke dalam syurga, dan lindungilah daripada seksanya kubur serta fitnahnya, dan daripada seksa api neraka.”

Sajak nukilan Almarhumah

Related Articles

Back to top button