HiburanInspirasiSemasa

N’Golo Kante, dahulukan Islam, baru bola sepak

Pemain Muslim yang taat

United Kingdom : Nama N’Golo Kante mula dikenali selepas membantu Leicester City memenangi Liga Inggeris pada tahun 2016. Sebuah kejutan daripada kelab yang langsung tidak diletakkan harapan untuk menjadi juara. Sebelum itu beliau hanyalah pemain di kelab bawahan di Perancis.


Pada tahun 2017, beliau berpindah ke Chelsea dan membantu pula kelab barunya itu menjadi juara Liga Inggeris. Nama beliau semakin harum apabila membantu Perancis menjadi juara dunia pada tahun 2018.

Pada tahun musim 2019-2020, kecederaan menghantui persembahannya, sebelum beliau bangkit kembali pada tahun 2020-2021 bagi membantu Chelsea menjadi juara Eropah.

Bermain dalam posisi box to box midfielder, beliau dikenali sebagai pemain yang sangat rajin mengejar bola. Beliau juga lebih banyak senyum, pemalu dan merendah diri. Sikapnya itu membuatkan  beliau menjadi antara pemain yang sangat disenangi oleh peminat boleh sepak. Tidak kira sama ada mereka adalah penyokong kelab yang diwakilinya ataupun penyokong pihak lawan.

Kedua-dua orang tuanya berasal dari Mali dan beliau lahir di Paris. Oleh kerana namanya yang tidak biasa, ramai yang tidak tahu beliau adalah seorang yang penganut Islam yang taat. Apabila berada di sesuatu tempat, perkara yang pertama beliau cari adalah masjid.

Pernah sekali, beliau tertinggal kereta api laju dari England ke Perancis. Apa yang beliau lakukan adalah mencari masjid dan menunggu di situ. Walaupun pada hakikatnya, dengan pendapatan jutaan pound sterling, beliau boleh sahaja menginap di hotel lima bintang.

Semasa di masjid, beliau disapa peminat dan menjemputnya ke rumah. Beliau seorang yang merendah diri, tidak menolak pelawaan itu. Di rumah peminatnya itu beliau menikmati hidangan kari dan turut bermain PS4 bersama mereka.

Semasa temuramah dengan Ilmfeed, sebuah portal Islam yang berpangkalan di United Kingdom, beliau ditanya bagaimana agama membantunya dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak?

Beliau menjawab dengan yakin, “Untuk saya, agama datang lebih dahulu sebelum bola sepak.”

Untuk N’Golo Kante, Islam adalah cara hidupnya dan perlu diutamakan. Bola sepak pula walaupun ia penting dan banyak membantunya dalam mengubah hidup, tetapi ia tidak lebih sekadar pekerjaan yang perlu dibuat dengan sebaik-baiknya. Islam memberinya kekuatan, kerana dalam Islam setiap pekerjaan yang halal boleh menjadi ibadah, yang bukan sahaja memberinya rezeki tetapi pahala dan redha Allah.

Related Articles

Back to top button