Covid19DuniaSemasa

New Zealand terus tutup pintu sempadan kepada warga asing lima bulan lagi

WELLINGTON : New Zealand tidak akan membuka semula sempadan kepada pengembara asing sekurang-kurangnya untuk tempoh lima bulan lagi.

Negara itu kini sedang melonggarkan beberapa sekatan sempadan pandemik yang disifatkan paling ketat dalam dunia secara perlahan-lahan.

Menteri Tindak Balas Covid-19, Chris Hipkins, berkata mereka memberi kebenaran kepada rakyat New Zealand yang terkandas di Australia untuk pulang bermula pertengahan Januari tahun hadapan manakala amereka yang melakukan perjalanan dari tempat lain akan dibenarkan kembali sebulan kemudian.

Walau bagaimanapun, warga asing perlu menunggu sehingga akhir April di bawah pelan tindakan pembukaan semula berperingkat diumumkan pada Rabu.

“Kami akui ia sukar, tetapi penghujung sekatan perjalanan kini dapat dilihat,” kata Hipkins.

Pada Mac tahun lalu, New Zealand menutup sempadannya dan semua ketibaan antarabangsa perlu menjalani kuarantin di hotel selama dua minggu yang kemudiannya dikurangkan kepada tujuh hari.

Pengumuman sempadan itu dibuat ketika New Zealand bersiap sedia merombak tindak balas domestik Covid-19 bagi menghapuskan sekatan.

Hanya 40 kematian dalam populasi lima juta direkodkan menerusi strategi dalam menghapuskan virus sepenuhnya tetapi pegawai akui penularan Delta akan menyebabkan matlamat itu tidak lagi dapat dicapai.

Hipkins mengakui ramai warga New Zealand mahu sempadan dibuka Krismas ini tetapi berkata ia bukan jangkaan yang realistik.

“Pandemik global berterusan dengan jumlah kes melonjak di Eropah dan bahagian lain di dunia,” katanya.

“Jadi kami perlu berhati-hati membuka semula sempadan itulah yang kami lakukan dan yang selalu kami lakukan.”

Hipkins berkata mulai bulan depan India, Pakistan, Indonesia, Fiji dan Brazil tidak lagi diklasifikasikan sebagai negara berisiko tinggi, menjadikan warganegara mereka layak ke New Zealand mulai 30 April.

– AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button