Dunia

New Zealand kuatkuasa larangan penjualan rokok seumur hidup

WELLINGTON : Kerajaan New Zealand bercadang untuk mengenakan larangan penjualan tembakau ke atas generasi muda sepanjang hayat mereka, dalam usaha menjadikan negara itu bebas daripada asap rokok.

 

Langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan tegas terhadap tabiat merokok yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan semalam.

 

Memetik laporan BBC, undang-undang yang dijangka dikuatkuasakan tahun depan akan melarang mana-mana individu yang lahir selepas 2008 membeli rokok atau produk tembakau seumur hidup mereka.

 

Menteri Kesihatan, Dr. Ayesha dalam satu kenyataan berkata pihak kerajaan bertekad untuk memastikan golongan muda tidak pernah merokok.

 

“Kami mahu pastikan anak-anak muda tidak mulakan tabiat merokok, maka akan menjadi satu kesalahan untuk menjual atau membekal produk tembakau bagi generasi muda itu,” ujar Menteri Kesihatan, Ayesha Verral.

 

Apabila undang-undang itu dijadual berkuat kuasa, bermula dari mereka yang masuk usia 14 tahun pada tahun 2027, tidak lagi dibenarkan membeli rokok di negara itu.

 

Pada masa yang sama, paras nikotin di semua rokok yang dijual akan dikurangkan untuk memasuki pasaran bagi mengurangkan prospek orang menjadi ketagih.

 

Pengumuman itu disambut baik oleh golongan doktor dan pakar kesihatan lain di negara ini yang berharap pembaharuan ‘terkemuka dunia’ itu akan mengurangkan akses tembakau dan menyekat paras nikotin dalam rokok.

 

New Zealand berazam mencapai matlamat nasional untuk mengurangkan kadar merokok nasional kepada lima peratus menjelang 2025, dengan sasaran menghapuskan rokok secara langsung.

 

Ia sekali gus menjadikan industri runcit tembakau di New Zealand sebagai salah satu yang paling ketat di dunia, di belakang Bhutan yang melarang sepenuhnya penjualan rokok.

 

Pada masa ini, kira-kira 13 peratus dewasa di negara ini merokok yang menyaksikan penurunan dari 18 peratus, sedekad lalu.

 

Namun, peratusan itu jauh lebih tinggi sebanyak 31 peratus dalam kalangan penduduk asli Maori yang mengalami kadar penyakit serta kematian lebih tinggi.

 

“Ini adalah peristiwa bersejarah untuk kesihatan rakyat kita. Merokok masih menjadi punca utama kematian yang boleh dielakkan di New Zealand, malah adalah satu daripada empat penyebab penyakit barah,” tambah Verrall.

 

-AGENSI

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button