Mufti syor garis panduan serta kawalan tertentu di kelab komedi
Islam tidak melarang hiburan asalkan tidak keterlaluan
GEORGE TOWN : Satu garis panduan dan kawalan tertentu perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa supaya pemilik kelab komedi serta orang ramai yang berkunjung ke situ sentiasa memelihara batas-batas moral serta agama, tegas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata pada masa sama, pihak berkuasa agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan-jabatan agama perlu menasihati masyarakat Muslim agar sentiasa menghormati kesucian agama mereka dan dijadikan bahan mainan atau gurauan.
“Sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusia, Islam tidak menentang hiburan termasuk komedi atau lawak jenaka malah Islam juga tidak menghendaki penganutnya sentiasa serius sehingga tiada ruang untuk bersantai dan berekreasi.
“Islam juga tidak melarang kesemua ini asalkan tidak keterlaluan, di dalam kehidupan ini ada ketikanya kita perlu serius dan ada ketikanya kita perlu bersantai.” katanya sebagai mengulas berhubung kes menghina kesucian agama Islam yang dilakukan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur baru baru ini.
Ekoran kejadian itu, polis menahan seorang wanita yang tular di media sosial kerana didakwa mencetuskan kontroversi tidak bermoral tersebut dan dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.
Dalam perkembangan terkini kes, pengasas bersama kelab komedi itu, Rizal van Geyzel turut ditahan bagi membantu siasatan berkait tiga video yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Rizal akan dibawa ke mahkamah pada Jumaat pagi ini untuk perintah reman.