Semasa

Sajat ada di Thailand?

Masih belum dijumpai selepas hilangkan diri daripada sebutan semula kes

KUALA LUMPUR 7 April :  Usahawan kontroversi, Sajat atau nama penuh Muhammad Sajjad Kamaruzaman dipercayai sedang bersembunyi di Thailand selepas menghilangkan diri dari menghadiri sebutan semula kes.

Bagaimanapun tidak didedahkan sama ada Sajat menggunakan laluan tikus untuk keluar dari Malaysia ke Thailand ataupun menggunakan pakej perlancongan yang membenarkan pelancong asing memasuki negara berkenaan selain kunjungan perniagaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan bahawa Sajat kini sedang berada di negara jiran namun beliau tidak menyatakan negara dimaksudkan.

“Ya dia kini berada di negara jiran. Cuma saya nasihatkan kepada dia pulang dan pergilah ke mahkamah,” – Ketua Polis Negara/Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Baru-baru ini, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) mengedarkan gambar usahawan kosmetik itu sepanjang pos kawalan keselamatan bagi memastikan dia tidak dapat bolos ke negara jiran.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, gambar Sajat mula diedarkan sejak bulan lepas namun sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat melibatkan individu berkenaan.

“Kita memang sentiasa lakukan kawalan ketat di sempadan, setakat ini, pintu sempadan memang tidak dibuka kepada orang awam dan hanya kenderaan berat yang membawa barangan industri sahaja dibenarkan melepasi sempadan. Negara paling dekat untuk dia keluar ialah Thailand, jadi kita akan teruskan pemerhatian,” – Timbalan Komander Briged Utara PGA/ Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis.

Mereka juga tidak menolak kemungkinan bahawa ada unsur penyamaran bagi mengelak daripada dikesan pihak penguat kuasa. Kawalan ketat di semua pos kawalan akan tetap diteruskan.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button