BANGI: MAPIM Mobile Kitchen telah menyediakan 500 pek juadah berbuka puasa secara percuma kepada orang ramai menerusi program MAPIM Bersama Masjid yang diadakan di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi semalam.
Lebih 20 orang aktivis serta sukarelawan MAPIM Malaysia yang terlibat bagi bersama-sama menyediakan juadah berbuka puasa kepada jemaah yang datang untuk iftar secara beramai-ramai di masjid.
Salah seorang sukarelawan MAPIM, Kapten Bersekutu (PA) Shahida Shamshuddin, menzahirkan rasa teruja beliau untuk menyantuni penduduk di Bandar Baru Bangi terutama kariah yang datang ke Masjid Al-Hasanah atau lebih dikenali sebagai masjid hijau.
“Alhamdulilillah MAPIM menyantuni penduduk di sini dan menu yang kami sediakan hari ini adalah nasi hujan panas, ayam masak merah, acar nenas, kuih-muih dan kurma, lengkap untuk iftar,” katanya.
Menurut Nurfaizah Mohd Salim, salah seorang pengunjung yang turut berbuka puasa bersama berkata, apa yang dianjurkan oleh MAPIM adalah satu inisiatif yang baik dan berharap program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang terutama pada bulan Ramadan.
MAPIM Mobile Kitchen lahir daripada ilham Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, (Dr.) Sani Araby Al Kahery bagi memastikan makanan segar, panas dan lazat, proses penyediaan makanannya dilakukan ‘On-the-go‘ di lokasi bencana.
Pada tahun 2022, MAPIM Malaysia akhirnya berjaya menghidupkan idea MAPIM Mobile Kitchen daripada kertas cadangan kepada sesuatu yang fizikal.
Melalui pelaksanaan Mobile Kitchen ini, selain atas dasar kasih dan peduli kepada ummah, ia memberikan khidmat yang terbaik buat asnaf dan golongan yang memerlukan.
BACA JUGA
GISBH manfaatkan MAPIM Mobile Kitchen bantu ummah di Johor