LOS ANGELES : Seorang lelaki di Amerika Syarikat yang mempersendakan vaksin Covid-19 dilaporkan meninggal kerana terkena jangkitan virus corona.
Stephen Harmon, dari California kerap mempersendakan vaksinasi, dan menjadi salah satu pengkritik vaksin yang vokal.
“Aku ada 99 masalah, namun vaksin bukan salah satunya,” kata Harmon dalam kicauan di Twitter Jun lalu.
Harmon kemudian disahkan menderita pneumonia dan corona di hospital Los Angeles, di mana dia meninggal pada Rabu (21/7/2021).
Beberapa hari sebelum meninggal, Harmon mendokumentasikan perjuangannya ketika dia dirawat di hospital.
“Tolong doakan saya. Mereka hendak mengintubasi saya dan memasukkan saya ke dalam ventilator,” pinta Harmon.
Dalam kicauan terakhirnya, Harmon menulis dia memutuskan untuk diintubasi.
“Saya tidak tahu bila akan bangun. Tetap doakan saya,” kata dia.
Meskipun dia kesakitan menghadapi virus corona, Harmon menegaskan dia tidak akan mendapatkan vaksin Covid-19, dan yakin imannya akan melindunginya.
Memetik BBC Sabtu (24/7/2021), Harmon sering mempersendakan Covid-19 yang sedang merebak di seluruh dunia.
Dalam salah satu kicauannya, dia memberitahu lebih percayakan kitab suci berbanding pakar AS, Dr Anthony Fauci.
Pengasas Hillsong Brian Houston mengesahkan kematian Harmon dalam kicauan di Twitter pada 22 Julai 2021.— KOMPAS