SemasaSyariah

Maulana Helmi dilantik Ikon Dakwah YADIM 2021-2022

Memilih untuk menjadi seorang pendakwah pada era kecanggihan teknologi ini bukanlah mudah.

Kewujudan media sosial yang semakin menguasai khalayak, banyak cabaran  yang  perlu ditempuhi bagi menyebarkan dakwah kepada masyarakat umum dan yang beragama Islam khususnya.

Dengan kemajuan teknologi, ia turut membuka kepada keterbukaan masyarakat yang terdedah kepada acuan Barat yang negatif seperti LGBTQ, arak, dan hedonisme.

Dalam menyaingi keterbukaan masyarakat itu, golongan pendakwah merupakan antara kelompok  yang dapat kita bergantung harap dalam mendidik masyarakat untuk tetap pada jalan yang benar dan sentiasa berjaga-jaga dengan segala muslihat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang berjaya.”

(Surah Ali-Imran, ayat 104)

Atas sebab itu pendakwah zaman sekarang bukan sahaja perlu tinggi ilmu agamanya, tetapi juga cakna dan akrab dengan teknologi terkini supaya dakwah sampai kepada golongan sasaran.

Itulah ciri-ciri yang ada pada Ikon Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ke sembilan bagi sesi 2021 – 2022.

Majlis pelantikan ikon pendakwah yang berlangsung pagi tadi  adalah bagi meneruskan inisiatif dalam melestarikan gerakan dakwah di Malaysia.

Sumber : Facebook YADIM

Antara pendakwah yang dilantik menjadi Ikon YADIM adalah Penceramah bebas terkemuka, Maulana Cik Wan Hilmy Wan Mohamed.

Al-Fadzil Maulana Wan Helmi yang juga Panel Syariah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) merupakan seorang figura yang aktif menjalankan kegiatan dakwah ke atas masyarakat tanpa mengira latar belakang, usia dan bangsa dengan mengunakan pelbagai jenis medium, sama ada dakwah di lapangan, mahupun di media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Maulana Helmi juga bukan sahaja berdakwah di Malaysia, malah, beliau juga aktif dalam bidang kemanusiaan dengan membantu mereka yang memerlukan, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Antaranya membantu mangsa banjir dan masyarakat Orang Asli di Pahang dan Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Rescue Syria MAPIM Malaysia ke Syria pada tahun 2020.

Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Rescue Syria MAPIM Malaysia yang diketuai oleh Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al- Kahery itu turut disertai oleh aktivis MAPIM Malaysia, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.

Justeru, pelantikan beliau sebagai Ikon Dakwah YADIM yang sekaligus menjadi duta YADIM dalam program pembangunan dakwah akan dapat membantu mengimarahkan lagi aktiviti-aktiviti dakwah ini kepada masyarakat dan membantu dalam pembangunan dakwah melalui platform media sosial.

“Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada YADIM kerana sudi melantik saya sebagai Ikon Dakwah YADIM bagi tahun 2021-2022. Harapan saya semoga pelantikan ini menjadi motivasi buat diri saya untuk meneruskan kerja-kerja dakwah di pelbagai lapangan, dan InshaAllah saya bersama Ikon Dakwah yang lain, mudah-mudahan dapat bekerjasama menggembleng tenaga untuk kita menyebar luas dakwah Islamiah dan dakwah Rasulullah SAW yang penuh dengan kasih sayang kepada seluruh umat.” kata Maulana Helmi ketika dihubungi wartawan UmmahToday.

Sehubungan itu, MAPIM Malaysia melalui perutusan Ketua Pegawai Eksekutif-nya, (Dr.) Sani Araby Al-Kahery mengucapkan tahniah kepada Al-Fadzil Maulana Wan Helmi atas lantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM.

Semoga lantikan ini menjadi pencetus semangat dan menjadi contoh kepada para pendakwah lain yang baru bermula.

Related Articles

Back to top button