Semasa

Lenyap sebuah penantian, Nanggala sah tenggelam

Serpihan torpedo, botol minyak pelincir, sejadah!

BALI: Penantian satu keajaiban untuk KRI Nanggala lenyap apabila satu pengumuman mendukacitakan dibuat  Ketua Tentera Laut Indonesia, Yudo Margono bahawa kapal selam membawa 53 anak kapal itu – tenggelam.

Margono memberitahu status itu yang sejak Rabu lalu dikatakan hilang kini berubah menjadi tenggelam berdasarkan beberapa serpihan yang ditemui milik KRI Nanggala 402.

Ketua Tentera Laut, Yudo Margono, yang mengumumkan perkara itu, berkata kira-kira enam serpihan kapal itu ditemui bersama beberapa komponen dan barangan dalam kapal selam ‘malang’ itu.

“Dalam tempoh beberapa hari ini kita menemui serpihan dan barangan dari lokasi terakhir kapal selam itu menyelam. Justeru, kita menukar status kapal selam itu daripada ‘hilang’ kepada ‘tenggelam’ kerana objek yang ditemui tidak mungkin datang daripada sebarang kapal lain kecuali KRI Nanggala 402” – Ketua Tentera Laut, Yudo Margono,

“(Barangan) itu tidak akan terkeluar dari kapal selam jika tiada tekanan luar atau tanpa kerosakan pada peluncur torpedo,” katanya kepada pemberita petang tadi waktu tempatan.

Serpihan kapal selam tentera, KRI Nanggala 402, yang hilang bersama 53 kelasi di perairan utara Pulau Bali  ditemui hari ini sekaligus mengesahkan kapal berusia 42 tahun itu tenggelam.

Menurut Berita Harian,  kapal selam milik tentera Indonesia yang hilang kira-kira jam 10.37 pagi Rabu lalu itu hanya mempunyai bekalan oksigen sehingga jam 3:00 pagi tadi dan operasi mencarinya masih berterusan setakat jam 8:00  malam tadi.

Beberapa barangan termasuk serpihan torpedo, sebotol minyak pelincir bagi periskop dan sejadah turut ditunjukkan pada pemberita.

Kenyataan itu melenyapkan sebarang harapan 53 kelasi yang berada dalam kapal selam milik tentera Indonesia itu yang hilang kira-kira jam 10.37 pagi Rabu lalu itu mungkin ditemui selamat.

Serpihan dipercayai lantai KRI Nanggala 402. – Foto EPA
Pegawai tentera berdiri di hadapan pusat operasi SAR KRI Nanggala 402, di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali. – Foto EPA

Sehubungan itu, operasi menyelamat kini berubah kepada usaha mencari dan mengeluarkan aset itu dari perairan Bali, di mana ia menjalani latihan ketenteraan.

Kapal selam itu yang juga satu daripada lima dimiliki tentera Indonesia hilang Rabu lalu ketika menjalani latihan ketenteraan menggunakan torpedo di perairan Bali.

Menurut pihak berkuasa, KRI Nanggala 402 yang menjalani beberapa naik taraf menyertai latihan tentera laut di pesisir pantai Bali ketika ia meminta kebenaran untuk menyelam dan kemudian terputus hubungan.

Meskipun banyak pihak mengharapkan keajaiban dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) itu, kesan tumpahan minyak di kawasan kapal selam berkenaan dipercayai hilang menggambarkan kemungkinan berlaku kerosakan tangki minyak.

Kapal selam itu dikatakan terputus hubungan ketika tenggelam sedalam 700 meter di dasar laut, melebihi keupayaan aset itu untuk bertahan terhadap tekanan persekitaran.

Menurut AFP, setakat ini pihak berkuasa Indoensia belum memaklumkan sebarang kemungkinan yang menyebabkan kehilangan kapal selam itu atau mengulas persoalan sama ada aset berusia puluhan tahun itu membawa muatan berlebihan.

Pesawat Poseidon dari Amerika Syarikat tiba untuk membantu SAR Nanggala.. ANTARA

Selain Amerika Syarikat, negara jiran – Singapura dan Malaysia serta Australia turut menghantar bantuan dalam misi SAR itu dengan hampir 24 kapal perang dikerah meliputi kawasan seluas 34 kilometer persegi.

KRI Nanggala 402 seberat 1,300 tan jenis 209 diesel elektrik adalah kapal selam penyerang yang dibina pada 1978 dan diserahkan kepada Indonesia pada Oktober 1981.

Aset itu pernah dibaik pulih pada 1989 di Jerman dan kemudian pada 2012 di Korea Selatan dengan strukturnya diganti serta naik taraf ke atas sistem penggerak, sonar dan senjata.

BBC.com melaporkan dalam tempoh tiga tahun, ini adalah kecelakaan ketiga membabitkan kapal TNI. Persoalan tercetus mengapa kapal yang sudah tua masih digunakan untuk tugas ketenteraan Indonesia.

Apa pun UMMAHToday turut berduka atas kehilangan 53 kru tentera Indonesia.

Gambar terakhir anak kapal sebelum memulakan latihan dan terus tidak kelihatan. ANTARA

Related Articles

Back to top button