Masih kuat, nenek 80 tahun tawan puncak Gunung Datuk
REMBAU : Seorang nenek berusia 80 tahun berjaya menawan puncak Gunung Datuk pada ketinggian 2900 kaki bersama anaknya, Esah Itam berusia 60 tahun pada Sabtu lalu.
Siti Zaharah Abdullah dari Kampung Batu Putih berkata dia dan anaknya mula mendaki pada pukul 2 petang dan selamat sampai ke puncak dua jam kemudian pada pukul 4 petang.
Dia mendakwa telah mendaki puncak itu sebanyak empat kali, yang pertama pada tahun 1950-an.
Siti juga memberitahu bahawa dia telah merancang untuk kembali ke gunung itu dua bulan lalu.
“Aku memang ada sebut dua bulan sudah, siapa la nak bawak aku naik. Memang ada tersebut nak daki gunung,” katanya.
Ketika ditanya mengapa beliau mahu mendaki Gunung Datuk, Siti menjawab dia ingin menyaksikan matahari terbenam dari puncak.
“Kalau kita masuk ke dalam, kalau nampak orang berjanggut, peluklah atuk. Di hujungnya ada tempayan besar, sentiasa ada air menitis. Ha, di situlah air boleh diminum, rezeki kita,” katanya.
Mengikut sejarah, puncak gunung ini digunakan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang, tokoh penting yang menganjurkan Adat Perpatih di Negeri Sembilan sebagai tempat berkumpul semua ketua adat dan pengisytiharan gelaran dan nama penyandang Datuk Lembaga Adat pada tahun 1372.
Buletin TTKM bertanya bagaimana untuk memiliki tubuh yang sihat dan tidak bongkok pada usia 83 tahun, Siti menjawab dia mengamalkan diet tidak makan ayam.
“Saya bukan peminat tegar ayam. Tidak makan apa-apa kecuali ikan dan sayur-sayuran. Saya buat ayam masak lemak untuk arwah suami saya apabila dia mahu, tetapi saya tidak memakannya,” katanya.
Beliau juga menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti mencangkul dan bercucuk tanam secara berkala.
Siti dan anaknya pula dibantu empat pendaki lain ketika mahu menuruni gunung kerana terlupa membawa lampu depan.
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM