Semasa

“Habis harta benda semua musnah ditenggelami air”

Sepang : “Dah bertahun-tahun terjadinya banjir di kawasan Kampung Giching ini namun kejadian yang sama berulang berlaku lagi, malah kali ini yang paling teruk, habis barang-barang semua rosak ditenggelami air”.

Demikian luahan Borhan Mat Lani, seorang penduduk yang menjadi mangsa banjir di kawasan Dengkil baru-baru ini selepas air hujan yang turun tanpa henti pada Rabu lalu menyebabkan ban penghalang banjir mula pecah.

Mereka hanya mampu melihat dengan hati yang sayu harta benda yang musnah akibat, sambil memikirkan kos yang perlu ditanggung bagi menggantikan barang yang musnah tersebut.

Menurut Borhan air terlalu tinggi sehingga mencapai paras dada dan mengalir dengan tersangat laju umpama air terjun sehingga mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

“Habis barang-barang musnah ditenggelami air, dah tiada apa yang boleh pakai lagi dah, beribu ringgit terpaksa keluarkan kalau nak ganti semua harta benda ni. Tiap-tiap tahun perkara sama sahaja berlaku, tiada tindakan dan penyelesaian, dah buat aduan banyak kali pun tapi mereka seolah-olah macam pekakkan telinga,” luah Borhan diiringi dengan tangisan air mata.

Namun mereka sangat bersyukur kerana anak-anak mereka semuanya selamat dalam kejadian tersebut.

Terdahulu, dilaporkan hujan lebat turun untuk tempoh yang lama telah menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke beberapa kawasan di daerah itu.

Antara yang terlibat ialah Kampung Sungai Merab Jaya, Kampung Lalang, Kampung Ampar Tenang, Kampung Cemperai, Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Kampung Orang Asli Batu 28 Jenderam, Taman Delima dan Taman Baiduri.

Manakala 100 rumah di Taman Dataran Abadi dan Kampung Labu Lanjut terjejas akibat ban Sungai Labu pecah dan air mengalir ke kawasan rumah penduduk.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button