KerohanianSemasa

Tilawah Al-Quran Kebangsaan ditangguh !

Sepatutnya 13 Jun tetapi ke satu tarikh yang bakal diumumkan

PUTRAJAYA :  Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1442H/2021M yang dijadualkan dari 13 hingga 18 Jun depan akan ditangguhkan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berkata acara yang bakal berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) akan dipinda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, penangguhan ini dibuat selaras dengan keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun depan.

“Keputusan ini juga adalah wajar dengan mengambil kira situasi pandemik Covid-19 semasa di samping kekangan masa serta keterbatasan pergerakan jawatankuasa-jawatankuasa dalam melaksanakan kerja-kerja persiapan MTHQK 1442H/2021M di sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP,” – Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh

Beliau berkata, penangguhan MTHQK itu telah mendapat persetujuan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk MTHQK, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Bagi pihak Jawatankuasa Induk MTHQK, Jakim ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas komitmen negeri-negeri yang telah membuat persiapan bagi menyertai MTHQK pada tahun ini,” katanya. – Bernama

Related Articles

Back to top button