KUALA LUMPUR : Cuaca sejuk melampau dan masalah logistik menjadi antara cabaran awal perlu ditempuhi pasukan penyelamat kedua Malaysia (MAS-10) yang dihantar bagi membantu kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi Turkiye.
Sekitar awal pagi tadi, cuaca di Turkiye adalah sekitar -2 darjah Celsius dan pasukan penyelamat negara masih berada di Lapangan Terbang Gaziantep, sejurus tiba dari Kuala Lumpur.
Ketua pasukan MAS-10, Abdul Manaf Che Isa berkata, setakat Khamis malam pasukan masih berada di Lapangan Terbang Gaziantep dan berdepan dengan masalah logistik membabitkan peralatan serta bagasi yang dibawa.
Namun, kekangan itu tidak memberi masalah yang besar kerana ia adalah sesuatu perkara biasa dalam misi menyelamat yang membabitkan tragedi besar dan pembabitan banyak negara.
“Cuaca agak sejuk iaitu sekitar -2 darjah Celsius dan keadaan di lapangan terbang juga sedikit sesak kerana banyak pasukan misi bantuan daripada seluruh negara akan tiba.
“Ketika ini, berlaku sedikit kekangan logistik peralatan dan bagasi untuk semua pasukan yang tiba namun Insyallah semuanya akan baik sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya lagi, MAS-10 akan mematuhi segala arahan daripada agensi tempatan Turkiye bagi mengatur langkah dan gerak kedudukan untuk tugasan.
MAS-10 adalah pasukan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) disertai 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) berlepas dari Kuala Lumpur pada Rabu malam dan tiba di Istanbul 6 pagi, Khamis.
MISI BANTUAN KECEMASAN GEMPA TURKIYE – SYRIA
Bagi anda yang ingin turut serta dalam Misi Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye – Syria, boleh terus menyalurkan sumbangan menerusi
Tabung Kemanusiaan MAPIM
Akaun Maybank : 5622 6354 0066
MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016
Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia