KUALA LUMPUR : Demi membantu perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan masjid Al-Aqsa daripada kekejaman rejim Israel, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menganjurkan Majlis Iftar Wakaf dan Infak Al-Aqsa di Hotel Impiana, Kuala Lumpur, semalam.
Presiden MAPIM Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi berkata teras projek ini adalah bagi mengumpulkan dana daripada pelbagai pihak untuk pembebasan serta penyelenggaran Masjid Al-Aqsa.
“Kita mengharapkan sokongan daripada setiap individu, organisasi, yayasan dan syarikat korporat untuk turut sumbang membeli meja iftar bersama,
“Kita membantu dan menyumbang kepada masjid yang ketiga terpenting dalam Islam yang dimiliki oleh kita sebagai muslim.” katanya.
Tambah Cikgu Azmi, setiap sumbangan yang diberikan akan disalurkan terus kepada mereka yang bertugas di kiblat pertama itu.
Pada masa sama, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku wakil Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hadir merasmikan Projek Wakaf Infak Al-Aqsa.
“Kerajaan komited dalam memberikan kerjasama kepada MAPIM untuk terus menerus memberi sumbangan kepada rakyat Palestin yang ditindas.
“Menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam berganding bahu, bersama saudara seagama kita untuk kembali bangkit,” ujarnya ketika merasmikan projek tersebut.
Selain itu, Projek Iftar Wakaf dan Infak Al-Aqsa turut mengumpulkan pertubuhan badan bukan kerajaan dan yayasan di seluruh Malaysia, Turki dan Baitulmaqdis.