
KUALA LUMPUR, 21 April – Pemilihan acara bagi Sukan SEA 2027 yang akan dianjurkan oleh Malaysia bakal memberi keutamaan kepada sukan yang dipertandingkan di peringkat Olimpik, menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Beliau memaklumkan bahawa satu persefahaman telah dicapai antara tiga negara—Malaysia, Thailand dan Singapura—untuk menumpukan kepada acara sukan yang merupakan sebahagian daripada temasya Sukan Olimpik.
“Saya difahamkan bahawa Thailand yang akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2025, Malaysia (2027), dan Singapura (2029) telah bersetuju untuk menjadikan sukan Olimpik sebagai asas dalam pemilihan acara,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Tambah Hannah, Malaysia akan meneliti senarai acara yang akan dipertandingkan di Thailand hujung tahun ini, dari 9 hingga 20 Disember, sebagai rujukan awal dalam menyusun perancangan penganjuran temasya 2027 nanti.
Beliau turut mengulas cadangan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang mencadangkan agar keutamaan diberikan kepada acara sukan Olimpik dalam pemilihan sukan Sukan SEA akan datang.
Bagaimanapun, Hannah menjelaskan bahawa pemilihan acara turut bergantung kepada peruntukan kewangan yang tersedia.
“Pemilihan acara bukan sahaja bergantung kepada asas Olimpik tetapi juga perlu mengambil kira bajet yang ada serta kerjasama dengan persatuan sukan dan MOM,” ujarnya.
Malaysia telah diumumkan sebagai tuan rumah edisi ke-34 Sukan SEA pada tahun 2027, dengan empat bandar utama terlibat dalam penganjuran iaitu Kuala Lumpur, Kuching (Sarawak), Pulau Pinang dan Johor Bahru (Johor).
Dalam perkembangan berkaitan, Hannah turut memaklumkan bahawa pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Selepas pelantikan itu, persiapan perlu digerakkan segera kerana kita tidak mempunyai banyak masa,” katanya.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KBS 2025 turut dimeriahkan dengan kehadiran warga kementerian, atlet kebangsaan, bekas atlet, legenda sukan negara serta wakil-wakil persatuan sukan kebangsaan.
sumber- BERNAMA