Semasa

Malaysia hasrat haramkan jualan rokok, produk tembakau kepada golongan lahir selepas 2005

PETALING JAYA : Malaysia bercadang untuk melarang penjualan rokok dan semua jenis produk tembakau  terhadap semua individu yang lahir selepas 2005.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat itu ketika menghadiri mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland malam tadi.

Menurutnya, beliau berharap undang-undang tersebut mendapat kelulusan tahun ini sebagai langkah untuk menangani impak negatif tembakau terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Jika berjaya, undang-undang ini akan dapat menghentikan generasi merokok (a generation end game to smoking) dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005.

“Malaysia merasakan ini akan memberi impak yang besar dalam mencegah dan mengawal NCD,” katanya.

Bagaimanapun, dalam mencegah dan mengawal NCD, Malaysia memerlukan pendekatan menyeluruh di peringkat nasional dan subnasional dengan kerjasama pelbagai pihak yang melibatkan kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan masyarakat setempat.

“Malaysia ingin menekankan peranan tembakau dalam Penyakit Tidak Berjangkit (NCD). Kami seperti negara di Pejabat Serantau bagi Pasifik Barat (WPRO) di negara lain, berharap dapat meluluskan undang-undang yang jika berjaya, akan melarang penjualan produk tembakau kepada sesiapa yang lahir selepas tahun 2005.
“Malaysia merasakan ia akan beri impak besar terhadap NCD,” katanya.
Khairy sebelum ini dilaporkan akan membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok terbaru dalam mesyuarat Parlimen akan datang, yang akan menggantikan undang-undang kawalan tembakau sedia ada di bawah Akta Makanan 1983.
Undang-undang baru itu juga dilaporkan akan mengawal selia e-rokok dan produk vape.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button