Semasa

MCMC saran pengguna beralih kepada 4G sebelum perkhidmatan 3G ditamatkan

KUALA LUMPUR : Susulan pengumuman rangkaian 3G bakal ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember ini, pengguna peranti 3G disarankan untuk segera beralih kepada rangkaian 4G.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi mengelakkan pengguna terkesan dan ketinggalan daripada arus pendigitalan.

“Untuk menaik taraf perkhidmatan kepada 4G, pengguna yang masih menggunakan kad SIM 3G digesa menghubungi syarikat penyedia perkhidmatan dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.

Penamatan rangkaian 3G adalah seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan liputan jalur lebar yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

MCMC memberitahu, ia bertujuan untuk mengguna semula spektrum sedia ada bagi mengukuhkan rangkaian 4G serta membolehkan penyedia rangkaian mudah alih meningkatkan ketersambungan digital dan memberikan pengalaman 4G yang lebih menarik kepada pelanggan dan isi rumah.

Peningkatan kualiti yang akan dapat dilihat merangkumi kelajuan data yang lebih tinggi, latensi rendah dan kestablilan rangkaian. Hasilnya, pelanggan akan dapat melayari internet, menstrim video dan menikmati lain-lain perkhidmatan dalam talian dengna lebih baik dan lancar.

Pada September lalu, MCMC memaklumkan bahawa sebanyak 94.03% kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat.

Suruhanjaya itu berkata, pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan U Mobile Sdn Bhd telah berjaya melakukan migrasi 1.2 juta pelanggan kepada 4G.

Dalam pada itu, MCMC berkata pengguna digalakkan merujuk kepada penyedia perkhidmatan masing-masing untuk maklumat lebih lanjut.

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button