Covid19Semasa

Madinah Ramadan, Bazar Ramadan & Aidilfitri Kelantan batal

Ikhtiar bendung COVID-19 kerana kes meningkat

KOTA BHARU 11 APRIL :  Madinah Ramadan, bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri tahun ini di seluruh negeri Kelantan dibatalkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, keputusan yang dibuat dua hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan sebagai ikhtiar bagi membendung penularan Covid-19.

“Bazar Ramadan dan Aidilfitri seluruh Kelantan dibatalkan. Madinah Ramadan ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 berisiko rendah (PKRC).” – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan /  Dr Izani Husin

“Ikhtiar demi membendung penularan Covid-19,” kata beliau di laman Facebook beliau pada Ahad.

Semalam, Kelantan merekodkan satu kluster baharu iaitu Kluster Bandar Baru Kubang Kerian melibatkan 34 kes dari daerah Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

Kluster itu dikesan dari tempat kerja iaitu di sebuah institusi kewangan di Bandar Baru Kubang Kerian.

Kes indeks dikesan melalui saringan kes bergejala dan disahkan positif pada 7 April 2020 membabitkan 10 pekerja institusi kewangan tersebut dan menjangkiti ahli keluarga terdekat.

Pada hari sama, Kelantan berada pada kedudukan ketiga tertinggi di seluruh negara selepas Sarawak dan Selangor dengan catatan kes harian Covid-19 berjumlah 171 kes.

Sementara itu dalam hantaran terkini di FB beliau, Dr Izani memaklumkan, sebanyak 98 kes baru jangkitan harian COVID-19 dikesan di Kelantan pada hari ini (Ahad 11 Apr).
Jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negeri Kelantan adalah sebanyak 7,119 kes.
Terdapat satu (1) kluster baharu direkodkan pada hari ini. Terus patuhi SOP yang telah ditetapkan demi kebaikan bersama.
Beliau turut menasihatkan orang ramai di Kelantan terus mengamalakan SOP. Katanya:
“Tubik rumah pakai mask, kelik rumah basuh tangan”.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button