JEDDAH: Dhuyufurrahman (tetamu ALLAH) dari Perancis yang berasal dari Maghribi bernama Nabil Ennasri, baru-baru ini tiba di Arab Saudi selepas menempuh perjalanan lebih 5,000 km dengan berbasikal.
Beliau memulakan perjalanannya di Paris pada 22 April dan telah merentasi 11 negara termasuk Itali, Slovenia, Croatia, Montenegro, Bosnia dan Herzegovina, Albania, Greece, Jordan serta Turkiye.
Nabil adalah seorang penulis dan aktivis masyarakat yang memberi tumpuan kepada pelbagai isu sosial, termasuk diskriminasi serta pendidikan.
Lelaki berusia 41 tahun itu sering mengemaskini perjalanannya ke Mekah kerana dia mahu menghidupkan semula pengalaman ziarah tradisional yang diikuti umat Islam pada masa lalu.
Setibanya di Madinah, Nabil berkongsi muatnaik foto di Masjid Nabawi.
“Sukar untuk saya meluahkan perasaan yang penuh terharu dan syukur kerana diberi kudrat untuk meneruskan kayuhan dan akhirnya tiba di tanah suci.”
“Sepanjang perjalanan ini, saya telah disambut dan diberi sokongan oleh pelbagai pihak,” kata Nabil Ennasri.
Nabil berharap perjalanannya akan memberi inspirasi kepada umat Islam dan ahli masyarakat lain untuk memikirkan semula pendekatan mereka sendiri untuk mengembara.