
KRUENG GEUKUH : Lebih 100 pelarian Rohingya yang hanyut dalam bot karam berlabuh di Pelabuhan Kruengkeukuh, Kota Lhokseumawe, Aceh selepas mendapat tekanan antarabangsa.
Berdasarkan laporan Reuters, kumpulan pelarian Rohingya tersebut disanitasi dahulu sebelum meninggalkan bot dan menaiki bas yang disediakan.
Pegawai di Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Oktina Hafanti memberitahu pihak media bahawa seramai 105 pelarian terdiri daripada 50 wanita dan 47 kanak-kanak akan dikuarantin selama 10 hari hingga 14 hari diikuti pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa.
Menurut Datuk Bandar tempatan, Suaidi Yahya berkata selepas kuarantin mereka (pelarian Rohingya) akan dihantar ke pusat perlindungan di Medan dan Surabaya, Indonesia.
Dilaporkan pelarian Rohingya tersebut dikesan oleh seorang nelayan di pantai wilayah Aceh pada Ahad lalu.
Nelayan tersebut mendapati bot yang mereka naiki itu mengalami kerosakan enjin dan bocor serta berisiko tenggelam.
Indonesia yang pada awalnya mahu menghantar pulang bot itu, memutuskan untuk membenarkan pelarian mendarat atas dasar kemanusiaan.
Bot usang dan sesak itu hanyut selama beberapa hari selepas enjinnya rosak dan air mula memasuki bot di kedudukan kira-kira 85 kilometer (km) di luar pantai Bireuen.
Menurut jurucakap tentera laut, Laksamana Pertama Julius Widjojono dalam satu kenyataan berkata kerja menunda bot itu dijalankan bermula jam 6 pagi dan dijangka selesai pada pukul 6:30 petang waktu tempatan.
Difahamkan, Indonesia adalah antara negara yang tidak menandatangani Konvokesyen PBB 1951 berkenaan Pelarian dan kebanyakannya dilihat sebagai negara transit bagi pelarian yang mencari suaka ke negara ketiga.