Semasa

PLUS gandakan petugas bantu pelanggan di plaza tol

KUALA LUMPUR : Langkah untuk menambah baik teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) akan diambil susulan maklum balas negatif orang ramai mengenai kesesakan yang timbul di plaza tol.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan memaklumkan bagi membantu pelanggan yang mengalami masalah di plaza tol, mereka telah menggandakan pasukannya selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.

“Pelanggan lebuh raya disaran untuk memastikan penggunaan lorong yang betul mengikut panduan pada papan tanda yang disediakan.

“Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go (TNG) yang terdekat akan disediakan.

“Jika masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TNG akan menggantikannya dengan tag RFID baru secara percuma,” katanya.

PLUS turut mencatatkan kadar migrasi menggalakkan sebanyak 10 peratus transaksi RFID selepas ia dilaksanakan di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan sejak Sabtu lalu.

“PLUS ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami yang berhijrah kepada RFID sebagai pembayaran tol pilihan mereka sejak pelaksanaan itu.

“Diharap peningkatan penghijrahan pembayaran tol menerusi RFID sejajar gaya hidup digital melalui pembayaran tanpa sentuh dan e-Dompet, akan membawa pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan menyeronokkan,” katanya melalui kenyataan itu.

Untuk maklumat terperinci mengenai lokasi pemasangan tag TNG RFID, pengguna boleh melayari portal http://www.touchngo.com.my atau memuat turun e-buku RFID di laman web rasmi PLUS, www.plus.com.my dan platfom media sosialnya, @PLUSTrafik Twitter, Facebook PLUS Malaysia serta Aplikasi PLUS.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button