DomestikSemasa

Laut bergelora, 2 pemancing dikhuatiri lemas

SEMPORNA: Tidak pulang sejak petang kelmarin, dua lelaki dikhuatiri lemas ketika keluar memancing di kawasan perairan Pulau Mataking, dekat sini, tidak pulang sejak petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kedua-dua mangsa, Makbul Haja, 50, bersama rakannya, Sajid Armani, 39, keluar memancing sekitar jam 3.30 petang pada hari berkenaan dan dilaporkan tidak pulang ke rumah masing-masing selepas tempoh 24 jam.

“Ahli keluarga mangsa masing-masing bimbang dengan kejadian itu dan takut sesuatu yang buruk berlaku kemudian membuat laporan polis pada jam 4.41 petang semalam,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Mohd Farhan berkata, pelbagai agensi digerakkan bermula petang semalam bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan laporan itu, namun gagal menemukan sebarang petunjuk.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar kawasan perairan Pulau Kulapuan dan Pulau Mataking.

“Setakat hari ini, kedua-dua mangsa belum ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 5 petang berikutan keadaan laut bergelora dan hujan,” katanya sambil memaklumkan operasi SAR akan disambung semula pagi esok.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button