Lanjut pengajian ke IPTA, ILKA tiada bayaran proses UPUOnline
KPT tanggung sepenuhnya bayaran
KUALA LUMPUR : Individu yang ingin melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi sesi akademik 2021/2022 tidak akan dikenakan bayaran proses UPUOnline.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, perkara itu diputuskan selepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran bagi proses permohonan dalam talian itu.
“Untuk makluman, bayaran proses UPUOnline sebelum ini dikenakan kepada pemohon untuk mendapatkan nombor unik ID Bank Simpanan Nasional sebagai syarat untuk mengisi borang permohonan bagi melanjutkan pengajian ke IPTA dan ILKA.”
Tempoh permohonan bermula dari 4 Januari hingga 31 Mac bagi semua kategori pemohon iaitu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), matrikulasi, dan diploma atau setaraf.
Bagi tarikh pemilihan program pengajian pula adalah dari 21 hingga 31 Mac bagi lepasan SPM, manakala lepasan STPM, Asasi, STAM dari 16 hingga 31 Mac, lepasan matrikulasi (23 hingga 31 Mac), serta lepasan diploma atau setaraf (9 hingga 31 Mac).