Semasa

Pelancong antarabangsa dibenarkan berkunjung ke Pulau Langkawi

KUALA LUMPUR : Pelancong antarabangsa yang ingin mengunjungi Pulau Langkawi boleh berkunjung mulai 15 November di bawah Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Perintis Pulau Langkawi, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 telah bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP) yang disyorkan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) mengenai gelembung pelancongan.

Menurutnya, sasaran adalah pengunjung berkualiti yang telah lengkap vaksinasi Covid-19.

“Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun wajib bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksin manakala senarai negara yang diluluskan akan dipilih oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Kementerian Luar Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Seterusnya, perdana menteri menyatakan bahawa tiada syarat kuarantin yang akan dikenakan namun pengunjung diminta untuk tinggal sekurang-kurangnya tiga hari, menjalani ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (PCR-RT) di mana keputusan dalam bentuk digital atau cetakan.

Pelancong yang berada lebih lima hari perlu menjalani ujian saringan pada hari kelima dengan semua kos ditanggung oleh mereka.

Menurut perdana menteri, setiap pelancong mesti mempunyai perlindungan insurans minimum AS$ 80,000 (RM320,000) dengan menggunakan perkhidmatan pelancongan berlesen MOTAC dan mempunyai pasport serta Visa Pengisytiharan Kesihatan Aku Janji dan Idemniti selain memuat naik dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera sebelum memulakan perjalanan.

Pelancong yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dikenakan ujian molekul pantas, manakala mereka yang terbang terus ke Langkawi akan dikenakan ujian PCR-RT pada hari kedua selepas ketibaan.

“Pelancong yang didapati positif akan dibawa ke pusat pengasingan/kuarantin atau hospital swasta, bergantung kepada kategori,” tambahnya.

Kumpulan pelancong hanya boleh mempunyai maksimum 20 individu dan memerlukan pemandu.

Sementara itu, pengunjung diminta untuk melakukan ujian PCR-RT 72 jam sebelum berlepas, keputusan ujian pada hari kedua boleh digunakan jika mereka melancong selama tiga hari.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan meneliti prestasi projek rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa di Langkawi selama tiga bulan sebelum melaksanakan di pulau peranginan dan lokasi pelancongan lain.

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button