InspirasiSemasa
Trending

La Tahzan – Apa yang kita mampu pelajari semasa pandemik ini?

Hidup tetap perlu diteruskan

Mengucapkan ayat, “Jangan bersedih.”, adalah perkara yang mudah, tetapi untuk yang menerima ucapan itu, ia bukanlah semudah itu.

Walaupun kita memahami bahawa setiap perkara yang terjadi di dunia ini semuanya atas izin Allah, tetapi ada waktunya hati tidak bersedia. Ibaratnya ketika menghadapi peperiksaan, beberapa hari sebelum peperiksaan kita sudah mengulangkaji bab-bab yang dijangka keluar sebagai soalan, tetapi pada hari peperiksaan, soalan daripada bab-bab lain pula yang tertulis. Bagaimana perasaan kita?

Itulah yang terjadi ketika pandemik covid-19 melanda. Berapa ramai antara kita yang sudah bersedia dengan wang simpanan dan berfikir mungkin covid-19 ini hanya untuk beberapa bulan, dan tidak pernah menyangka ia akan berlarutan melebihi satu tahun? Duit simpanan habis, kerja hilang dan keluarga mula kelaparan.

Kata-kata motivasi apapun sudah tidak mampu memberikan kenyamanan hati. Namun, tetaplah sebagai orang Islam kita perlu yakin bahawa dunia ini adalah tempat kita diuji. Apalah makna ujian sekiranya ia tidak benar-benar menusuk sehingga ke hati?

Apatah lagi sekiranya kita mengaku sebagai orang beriman. Pasti ujian itu adalah ujian yang benar-benar mengoncang iman.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Semua ujian itu hanya untuk menjadikan iman kita semakin kuat. Pada ketika kita sudah merasakan sudah tidak ada apa-apa, tidak ada kerja, tidak ada wang, keluarga juga semakin susah, pada ketika itulah ramai yang akan memilih untuk dekat kembali kepada Allah.

Bukan bermaksud selama ini tidak dekat kerana tidak solat, malah solat sentiasa dijaga, tetapi dekat di sini bermaksud, lebih ikhlas dan khusyuk. Berapa ramai antara kita yang akhirnya bangun malam dan mengadu hanya kepada Allah dengan fikiran tertumpu terus kepada Dia, meminta hanya kepada-Nya dengan deraian air mata pada sujud di sejadah.

Itu antara hikmah pandemik yang jelas. Allah menghilangkan apa sahaja yang selama ini menjadi penghalang antara kita dan Dia. Penghalang yang menjadikan kita jauh dan lupa kepada-Nya.

Yakinlah, segala sengsara ini Allah akan hilangkan, dan apa sahaja yang sudah hilang daripada kita Allah akan gantikan.

Apa yang perlu sebagai hamba, kita lakukan dua perkara ini. Syukur dan sabar. Syukur kerana Allah masih berikan kita fikiran yang waras, berikan kita hari ini dan esok untuk terus berusaha. Ada yang Allah masih berikan pekerjaan walaupun gaji kurang, ada yang diberikan kesihatan yang, dan ada yang diberikan keluarga yang memahami.

Kemudian sabar, kerana syukur tidak mampu bersendirian tanpa adanya sabar, dan sabar juga begitu. Ia ibarat sepasang sayap yang saling melengkapkan. Sabar dan syukur.

“Sesungguhnya pertolongan Allah akan datang bersama kesabaran”. (HR. Ahmad )

Terus sahaja bersangka baik kepada Allah. Bersangka baik dengan sabar dan bersyukur. Bersangka baik dengan memikirkan bahawa ujian ini akan mendekatkan kita kepada-Nya. Bersangka baik bahawa ujian ini akan membuatkan kita lebih banyak berdoa dan lebih sering bangun malam untuk mengadu kepada Allah.

Sentiasa bersangka baik juga, bahawa pertolongan Allah pasti akan datang, dan pada ketika ia datang, ia akan menjadi sangat manis.

Lalu pada ketika, ada yang berkata kepada kita, “Jangan bersedih,” terus sahaja sambung dalam hati, “Janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”

(La tahzan, innallaha ma’ana… QS. At Taubah : 40)

Related Articles

Back to top button