KemanusiaanPalestin

Kuasa media sosial dedah kezaliman rejim Israel ke atas Palestin

Masyarakat seluruh dunia tetap tahu perkara sebenar walau media disekat

Pada  zaman teknologi yang serba canggih ini, media sosial sudah menjadi platform untuk mendapatkan berita dan informasi terkini tidak kira dari dalam mahu pun dari luar negara.

Seperti peperangan yang berlaku di Gaza beberapa minggu lepas, kita dapat lihat kesengsaraan rakyat Palestin apabila diserang oleh rejim Israel di Masjid Al-Aqsa.

Namun, kekejaman Israel tidak hanya tertakluk kepada penggunaan senjata semata-mata, malah mereka turut mempergunakan media untuk menyekat berita-berita yang menyiarkan tentang kezaliman mereka.

Wartawan UMMAHToday, Hafeez Anuar sempat menemubual Presiden dan Naib Canselor UNISEL yang juga Penganalisis Rantau Timur Tengah, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman bagi mendapatkan pandangan beliau terhadap konflik yang berlaku di Gaza baru-baru ini.

Menurut Prof. Redzuan, peranan media kini menjadi “mata” kepada seluruh dunia untuk membongkarkan kezaliman rejim Israel terhadap rakyat Palestin sehinggakan ia memberikan tekanan kepada mereka.

Malah, mereka berasa malu untuk mengaku bahawa mereka adalah warga Israel kerana sering dikaitkan sebagai bangsa yang membunuh kanak-kanak, memusnahkan tempat-tempat awam dan dikategorikan sebagai bangsa “barbaric”.

“Dan ini memberikan satu naratif yang memberi kesan negatif terhadap psikologi mereka, tambahan lagi ada negara yang tidak membenarkan lagi penglibatan Israel dalam persidangan atas tindakan kejam mereka walaupun secara amnya tiada bangsa yang boleh hidup secara berasingan, mereka tetap perlu berinteraksi antara satu sama lain,” – Penganalisis Rantau Timur Tengah / Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman

Baru-baru ini, Facebook tampil memohon maaf kerana menyekat beberapa kandungan yang pro kepada perjuangan rakyat Palestin setelah banyak aduan rasmi dibuat kepada syarikat itu bahawa laporan berkaitan Palestin ketika konflik dengan rejim Israel, telah disekat.

Sementara itu aktivis pro-Palestin menyelaraskan kempen meminta orang ramai untuk memberikan ulasan satu bintang kepada Facebook di laman aplikasi Apple dan Google sebagai membantah tapisan yang dilakukan terhadap akaun dan siaran rakyat Palestin.

Tambah Prof. Redzuan, perkara ini bukanlah penghalang untuk masyarakat di seluruh dunia untuk mengetahui kebenaran dan segala tindak tanduk pihak zionis Israel ketika berlakunya serangan di Gaza.

“Walaupun Youtube, Twitter, Facebook cuba menghalang penyiaran gambar yang menyifatkan kezaliman Israel tetapi waktu ini masyarakat masih ada laman media sosial yang lain. Gambar dan video yang menunjukkan insiden yang berlaku di Gaza dapat diketahui oleh dunia walaupun Israel menggunakan pengaruh mereka untuk menyekat penyiaran berita mengenai kekejaman mereka,” – Penganalisis Rantau Timur Tengah / Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman.

Menerusi video dan gambar yang tular di media sosial, kelihatan ada rakyat Palestin yang keluarga mereka mati dibunuh, ada yang kehilangan isteri, suami, anak dan ada juga yang ditangkap oleh polis Israel.

Tambah-tambah lagi dengan pelancaran kempen #ShameOnIsrael oleh pihak Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, (Dr.) Sani Araby Al Kahery. Sejak dijalankan kempen pertama yang disifatkan serangan terhadap Israel, katanya ramai orang memuat naik poster yang tertulis #ShameOnIsrael di laman media sosial mereka bagi mengutuk tindakan rejim zionis Israel menyebabkan kemusnahan bumi Gaza.

Tanda pagar #ShameOnIsrael itu kemudian trending di laman sosial dan menurut (Dr.) Sani ia kemudian dihantar semula oleh selebriti dan pendakwah tempatan. Beliau dalam satu siaran langsung baru-baru ini berkata amat kagum dengan mereka yang berkongsi tanda pagar itu sehingga menyebabkan akaun yang dimiliki personaliti disekat walhal telah mencapai ribuan pengikut, antaranya Pendakwah terkenal yang juga Panel Syariah MAPIM, Datuk Dr. Izhar Ariff.

“Dalam kesengsaraan yang dihadapi oleh mereka, kita masih dapat lihat semangat perjuangan mereka yang tidak pernah pudar, mereka merasakan ini adalah satu perjuangan untuk memperjuangkan maruah dengan pilihan yang mereka ada iaitu sama ada menang atau mati.”

Dengan semangat juang dan sokongan umat islam di seluruh dunia, Palestin akhirnya berjaya memperoleh kemenangan apabila gencatan senjata diumumkan dan dalam masa yang sama dapat membuka mata masyarakat di seluruh dunia tentang kesengsaraan yang mereka alami.

“Kita juga dapat menyaksikan seluruh dunia menunjukkan solidariti mereka bersama Palestin dengan mengadakan demonstrasi dan protes untuk mendesak rejim Israel menghentikan kezaliman ke atas Palestin dan ternyata usaha Israel  untuk memanipulasikan media dengan penipuan dan fitnah terhadap umat Islam di Gaza gagal.” – Penganalisis Rantau Timur Tengah / Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button