KPT aktifkan bilik gerakan banjir
KUALA LUMPUR : Bilik Gerakan Banjir @ Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini diaktifkan bagi menyelaras operasi penyaluran bantuan kepada warga institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkesan akibat bencana banjir.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menggesa semua IPT) untuk membuka Bilik Gerakan Banjir di lokasi masing-masing susulan bencana yang berlaku.
Beliau berkata ia bertujuan memudahkan penyaluran segera bantuan seperti makanan dan keperluan asas lain kepada pelajar dan kakitangan IPT yang terjejas.
“Pelajar dan kakitangan IPT yang menghadapi kesukaran dan memerlukan bantuan boleh menghubungi nombor telefon 03-8870 6777/6623/6949/6628 dan emel keĀ aduankpt@mohe.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Noraini berkata Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) yang terdiri dalam kalangan warga IPT kini digerakkan bagi membantu dari segi pembersihan pasca banjir.
Dalam padai itu, beliau turut menasihatkan para pelajar supaya menjaga keselamatan diri masing-masing dan sentiasa pastikan berada di kawasan selamat.
“Saya juga mengambil kesempatan di sini mendoakan supaya semua warga KPT daripada ahli akademik, pengurusan IPT sehinggakan ke para pelajar selamat dari bencana ini,” katanya.