REMBAU 18 Mac : Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Sinovac bagi mencegah COVID-19
Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menerima suntikan itu di Pusat Penerimaan Vaksin Hospital Rembau, hari ini.
Beliau menerima suntikan itu pada jam 1:32 tengah hari tadi yang dilakukan oleh Ketua Penyelia Jururawat Hospital Rembau, Salha Abd Samad. Proses suntikan hanya mengambil masa tidak sampai satu minit.
Menurut beliau, Sinovac adalah vaksin buatan syarikat biofarmaseutikal China yang telah diluluskan oleh Bahagian Regulasi Farmasi Kementerian Kesihatan (MPRA).
“Alhamdulillah, sepanjang 30 minit dalam pemerhatian iaitu tempoh minimum, saya tidak mengalami atau merasai apa-apa kesan, malah suntikan berjalan lancar sehingga saya sendiri tidak sedar ia selesai begitu cepat,” – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi / Khairy Jamaluddin.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, vaksin Sinovac tidak perlu diragui kerana ia diterima pakai dan setakat ini lebih 60 juta dos telah disuntik di seluruh dunia.
Beliau berkata, vaksin berkenaan juga diterima di beberapa negara seperti China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Turki, Brazil, Chile, Uruguay, Kemboja, Mexico, Hong Kong dan Thailand.
“Malah suntikan Sinovac juga telah diberikan kepada Presiden Indonesia, Jokowi dan juga Presiden Turki.”
Sementara itu, individu yang mengambil kedua-dua suntikan vaksin COVID-19 akan diberikan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera, serta lencana imunisasi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sijil dan lencana itu bukti individu berkenaan sudah menerima dos vaksin yang lengkap, sekiranya itu menjadi keperluan pada masa depan.
“Sijil ini tertera nama dan kad pengenalan penerima vaksin, dan tertulis individu berkenaan disahkan sudah menerima vaksin COVID-19,” – Menteri Kesihatan / Datuk Seri Dr Adham Baba
Turut sama menerima suntikan vaksin itu adalah 10 petugas barisan hadapan membabitkan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan kakitangan Hospital Rembau.
Vaksin Sinovac tiba di Malaysia pada 27 Februari menjadikannya bekalan kedua bagi vaksin Covid-19 dalam tempoh seminggu, selepas Pfizer-BioNTech diterima pada 21 Februari lalu.
– BH Online
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan Hafeez Nor Hanif bin Anuar.