DuniaInspirasiSukan

Ketegasan Pogba tidak mahu mempromosi minuman keras dihormati penaja

Tegas dalam pengamalan

Paris : Pogba atau nama sebenarnya Paul Labile Pogba lahir di Perancis pada 15 Mac 1993. Beliau lahir dalam keluarga Islam yang berasal dari Guinea. Beliau juga mempunyai saudara kembar yang bermain untuk pasukan kebangsaan Guinea. Manakala Pogba sendiri bermain untuk pasukan kebangsaan Perancis.

Pogba memang antara figura bola sepak yang sentiasa menjadi tumpuan lensa kamera. Sama ada kerana gaya permainannya, atau kerana gaya rambutnya, dan kadangkala kerana kontroversinya.

Dalam Kejohanan Euro di Budapest, Hungary, sekali lagi Pogba menjadi tumpuan. Beliau telah membantu Perancis memenangi perlawanan menentang Jerman dengan jaringan 1-0, dan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan. Tumpuan ke atasnya kemudiannya berterusan semasa sidang media.

Semasa dalam sidang media, Pogba tidak teragak-agak mengalihkan minuman keras jenama Heineken di atas meja, yang menjadi antara penaja kejohanan. Selain kerana mahu mempromosikan gaya hidup sihat, ia juga adalah berkenaan dengan pegangan agamanya sebagai seorang Islam.

Prinsip Pogba sangat jelas kerana pada tahun 2017 beliau sudah menulis di akaun Twitternya, yang beliau tidak minum arak, kerana arak adalah larangan dalam Islam.

Heineken, dalam kenyataan rasminya kepada CNN, mengatakan mereka menghormati hak individu apabila ia bersangkutan dengan pilihan minuman.

Kejadian ini menunjukkan, ketegasan dalam melaksanakan prinsip akan menjadi sebab untuk kita dihormati oleh sesiapa pun.

Related Articles

Back to top button