Ketahui cara sambut Aidilfitri mengikut sunnah Rasulullah SAW
Hari Raya Aidilfitri merupakan hari yang disambut sebagai hari kegembiraan dan hari kemenangan, bagi umat Islam setelah berjaya melaksanakan ibadah dengan sempurna pada bulan Ramadan.
Bagi mendapat keberkatan dalam menyambut hari raya, umat Islam hendaklah menghayati segala sunnah-sunnah Rasulullah SAW dalam menyambut hari raya.
Antaranya adalah bertakbir pada malam raya dan pagi raya walau di mana sahaja berada. Umat Islam hendaklah menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah SWT seperti melakukan solat, berzikir, membaca al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.
Tambahan lagi, amalan yang boleh dilakukan pada pagi raya pula, dimulakan dengan mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain.
Said bin al-Musayyib berkata:
“Sunat-sunat hari raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”
Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada jabir R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيْدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.”
Riwayat al-Bukhari (943)
Di hari raya ini juga, umat Islam diminta untuk saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain serta disunatkan untuk makan sedikit makanan sebelum pergi menunaikan solat Aidilfitri.
Amalkan sunnah-sunnah yang ada ketika menyambut hari raya agar setiap perkara dan perbuatan yang dilakukan mendapat rahmat dan berkat daripada Allah SWT. Gunakanlah kesempatan yang ada juga untuk mengeratkan lagi tali silaturahim dan hubungan ukhuwah sesama keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai.