Covid19DomestikSemasa

Kes palsu kad vaksinasi COVID-19, 4 ditahan polis

KOTA BHARU: Empat individu ditahan polis termasuk seorang pemilik sebuah klinik swasta di daerah ini.

Tujuan penahanan itu adalah bagi membantu siasatan kes yang disyaki membabitkan kad palsu vaksinasi COVID-19.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata empat laporan diterima Jabatan Kesihatan Kelantan (JKNK) antara Oktober 2021 hingga 11 Januari lalu daripada sumber berbeza dan serbuan berhubung kes itu dilakukan bersama kakitangan JKNK terhadap klinik swasta itu, kira-kira jam 11.20 pagi Ahad lalu.

“Kami berjaya menahan seorang pemilik klinik yang berusia dalam lingkungan 60-an, dan tiga individu lain melalui tangkapan berasingan serta turut merampas bersama kad vaksinasi dengan lain-lain dokumen berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Shafien berkata, klinik swasta terbabit mengenakan caj kepada mereka yang mahu mendapatkan suntikan sebanyak RM 180 untuk setiap suntikan.

Beliau berkata, hasil semakan lanjut dijalankan JKNK, tiada rekod vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera beberapa individu yang dikatakan menerima vaksin di klinik itu.

“Kesemua mereka yang ditahan itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang ada sebarang maklumat berkaitan, diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button