Semasa

Meringankan beban mangsa kebakaran Pondok Fauzi

MAPIM kunjungi rumah pondok yang hangus

YAN, KEDAH : “Kami anggap ia satu ujian pada Ramadan kali ini”

Penghuni lima buah rumah daripada enam keluarga termasuk pasangan suami isteri,  sedih tapi reda apabila hilang tempat berteduh dalam sekelip mata.

Mereka ialah mangsa rumah Pondok Fauzi yang terbakar di Yan, Kedah pada Khamia lalu (16 April).

Selain rumah pondok dua tingkat, bangunan kelas B pondok itu turut hangus.

Atas rasa keprihatinan itu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM, menghulurkan bantuan peralatan asas bagi meringankan bebanan penghuni terbabit.

Setiausaha Agung MAPIM,  Mejar Zulhanis Zainol berkata mereka terpanggil untuk membantu Pondok Fauzi ketika sedang menghantar bantuan Ramadan di kawasan utara Semenanjung.

Menurutnya mereka mengetahui mengenai kejadian itu melalui media dan pada Jelajah Ummah berkenaan yang bermula pada Sabtu (17 April), sukarelawan MAPIM bersama-sama dengan Geng Truck Utara (GTU)  bergegas ke Pondok Fauzi untuk membantu mangsa.

Sumbangan MAPIM berupa barangan peralatan dan kelengkapan rumah termasuklah lima buah tilam, dan toto, bantal, tikar getah dan bantuan kewangan.

Bantuan diserahkan kepada wakil badan pengurusan Pondok Fauzi, dikenali sebagai Haji Wan Ghazali.

Sementara itu, menceritakan kembali peristitiwa itu, Haji Wan Ghazali berkata ketika kejadian semua penghuni sedang bersolat tarawih di surau pondok.

Pada rakaat ke-8, ketika sedang berhenti seketika jemaah diberitahu oleh masyarakat sekitar bahawa rumah pondok sedang terbakar.

Sebuah jentera bomba dan tujuh anggota dikejarkan ke kawasan kejadian diketuai oleh  pegawai bomba, Muhammad Nor Iman Mustafa.

Kebakaran itu turut dibantu  oleh  Balai Bomba Penyelamat Guar Chempedak, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sungai Limau Dalam, Gurun, Guar Chempedak, Padang Lembu, Bedong, dan Kampung Baru Rangkaian Simpang Empat.

Secara keseluruhan seramai 116 penuntut pondok itu termasuk lelaki dan perempuan mendiami rumah-rumah di sekitar pondok berkenaan.

Pondok Agama Fauzi di Yan Kecil, Kedah diasaskan oleh Allahyarham Tuan Guru Hj. Ahmed Fauzi Hj. Mustafa pada 1971 yang didaftarkan atas nama persendirian di Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Kedah.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham sering menyampaikan kuliah dan pengajian agama kepada masyarakat sekitar.

Selepas Tuan Guru Hj. Ahmed Fauzi meninggal dunia pada 1987, pengurusan Pondok Fauzi diserahkan kepada anaknya Ustaz Hj. Ahmad Shazali sejak tahun 2000.

Related Articles

Back to top button