Semalam, India mencatat peningkatan kes positif Covid-19 yang di luar jangkaan apabila 273,810 disahkan dijangkiti wabak maut itu.
Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal menyifatkan situasi itu sangat kritikal sambil menambah bahawa perintah berkurung adalah satu-satunya pilihan yang ada untuk mengelakkan bencana yang lebih besar.

“Sistem kesihatan Delhi berada di titik pengakhiran. Saya tidak akan mengatakan ia sudah runtuh tetapi keadaan sekarang sangat kritikal.” – Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal
“Saya selalu membangkang arahan perintah berkurung tetapi ini akan mengurangkan kadar transmisi wabak dan memberi kita waktu untuk meningkatkan infrastruktur kita. Tempoh seminggu perintah berkurung ini akan digunakan untuk meningkatkan penjagaan kesihatan kita,” katanya dalam satu sidang media di saluran televisyen tempatan.
Beliau turut memaklumkan telah memohon bantuan daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi bagi mengelakkan krisis lebih serius di negeri itu.
Selain New Delhi, Mumbai juga turut dikenakan perintah berkurung sejak minggu lalu dan ia dijangka berlarutan sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak. – Agensi