KUALA LUMPUR: ‘Tarantula’ secara rasmi dipilih sebagai nama kenderaan nasional berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4×4) buatan tempatan yang pertama.
Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilihan nama kenderaan itu berdasarkan spesis labah-labah daripada keluarga Theraphosidae atau di Asia digelar ‘Earth Tiger’.
“Saya sangat berbesar hati diberi peluang melancarkan dan menamakan kereta perisai tempatan buatan Malaysia sebagai Tarantula. Karakter dan keupayaan yang ada pada labah-labah Tarantula menggambarkan ‘kekuatan’ kenderaan perisai yang dibangunkan bakat tempatan. Dari segi ujian atas jalan raya selama sembilan hari, ia merangkumi perjalanan 700 kilometer dan 300 km lagi ujian panduan ‘offroad’,” – Menteri Kanan Pertahanan/Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob
Beliau turut mengulas apa yang ditonjolkan MILDEF adakah bukti bakat dan syarikat tempatan juga mampu menghasilkan kenderaan pertahanan yang sama kualiti seperti dihasilkan negara luar, malah lebih hebat.
Tambah beliau, Kementerian Pertahanan komited untuk terus menumpukan industri pertahanan dalam usaha memastikan Malaysia tidak lagi bergantung terhadap ‘produk’ negara luar.
“Kementerian akan memfokuskan industri pertahanan supaya pakar dalam negara iaitu anak Malaysia mampu keluarkan senjata sendiri bagi mengelak pergantungan dengan negara luar. Sebelum ini, kita berjaya menghasilkan peluru, komponen pesawat dan kita sedang membina kapal perang. Saya harap Tarantula ini bukan saja mampu digunakan dalam negara, tetapi di luar negara kerana kualiti ketahanannya. Syarikat tempatan juga perlu fokus pasaran luar negara supaya tidak bergantung pasaran tempatan untuk membeli produk ini,” – Menteri Kanan Pertahanan/Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob
Tarantula HMAV4x4 adalah kenderaan berperisai dengan keupayaan lasak untuk bergerak pantas di atas pelbagai bentuk muka bumi dengan mampu mencapai kelajuan sehingga 110 kilometer per jam.
Dengan keupayaan dimiliki kenderaan itu, ia terbukti mampu melaksanakan pelbagai misi penting ketenteraan dan memberi perlindungan kepada pengendali serta kru kenderaan itu.
Ia dibina berlandaskan pelantar modular dengan rangkaian spesifikasi asas sehingga paling canggih untuk memudahkan sebarang pengubahsuaian dan memenuhi mana-mana spesifikasi diinginkan negara tertentu.
Dilengkapi sistem persenjataan moden bersama pelancar grenet, kenderaan berperisai ini direka menggunakan sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) yang membolehkannya menembak secara 360 darjah ketika bertempur, memberikan keupayaan untuk menembak sasaran menggunakan sistem kawalan jauh dengan bantuan skrin paparan.